"Saya Dan Zul Ariffin Masih Baik, Tapi...."- Zahirah Macwilson


PELAKON jelita, Zahirah Macwilson mengakui hubungan dengan aktor Zul Ariffin masih berjalan dengan baik.

Namun begitu, bintang drama bersiri Duda Pujaan Dara ini enggan mengulas lanjut mengenai status hubungan cinta mereka yang didakwa sudah berakhir.

“Cukup sekadar saya katakan kami baik-baik sahaja dan masih berhubung, tapi saya enggan komen lanjut mengenai hubungan kami. Saya dan Zul tak bergaduh atau bermasam muka.

“Saya mohon maaf kerana tak dapat memberikan penjelasan terperinci. Sebagai perempuan, tak manis untuk saya memberikan komen berlebihan. Banyak hati yang perlu saya jaga dan saya juga tak nak babitkan pihak lain.

“Sekarang, masing-masing sibuk dengan tawaran lakonan. Lebih baik kami memberikan fokus terhadap kerjaya,” kata Zahirah.

Bakal muncul dengan drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu menerusi slot Megadrama, Zahirah mahu terus memberikan tumpuan terhadap kerjaya.

“Tahun lalu, saya terpalit dengan beberapa kontroversi. Jadi, saya mengambil perkara tersebut sebagai pengajaran.

“Saya mahu terus fokus terhadap apa yang saya usahakan dan ingin mengukuhkan nama dalam bidang lakonan.

“Saya juga mahu memberikan kualiti terbaik dalam setiap karakter lakonan untuk membalas jasa keluarga serta peminat yang tidak berhenti menyokong selama ini,” katanya lagi.

BACA: Zul Ariffin akui janggal mahu mesra dengan Neelofa

Tak Ada Cinta Sepertimu merupakan naskah adaptasi novel karya Anna Milia dan drama bersiri ini menjadi karya sulung yang menggandingkan Zahirah bersama Syafiq Kyle sebagai teraju utama.

Diarahkan oleh Jamal Khan, drama bersiri 16 episod ini turut menampilkan Ruhainies, Fadlan Hazim, Zainol Macwilson dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) bermula 12 Mac ini.

Sumber: Awani