“Saya Dibuli, Nyaris Langgar Pemandu BMW Ini”


IPOH – Ini satu lagi cerita samseng jalanan melibatkan pemilik kereta mewah yang kini heboh tular diperkatakan pengguna media sosial tempatan.

Melalui perkongsian seorang pelajar menerusi laman Facebook, menceritakan detik cemasnya apabila motosikal ditunggangnya, nyaris kemalangan dengan sebuah kereta BMW berwarna hitam.

Menurut mangsa, Hang Ming, kejadian bermula apabila pemandu kereta terbabit secara tiba-tiba melakukan brek mengejut ketika di sedang membonceng di Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke Pasir Panji, di sini.

“Saya dalam perjalanan pulang ke rumah dan terserempak dengan BMW itu. Saya tahu saya agak laju sedikit pada waktu itu tetapi saya mula perlahan selepas ternampak kereta tersebut.

“Ketika saya memperlahankan motosikal, saya tidak tahu kenapa dia buat brek kecemasan secara tiba-tiba. Bukan sekali, tetapi beberapa kali.

“Di persimpangan lampu isyarat kedua, saya berhenti dan periksa sama ada kereta itu masih mengekori saya atau tidak, mujur kereta itu sudah berlalu pergi.


“Ada sesiapa yang mengenali pemandu kereta ini? Saya nak tahu apa salah saya dan apa yang dia cuba nak buktikan sebenarnya?” katanya dalam kejadian kira-kira jam 12.50 pagi Ahad itu.

Menerusi video berdurasi dua minit 35 saat itu, mangsa yang dipercayai menunggang motosikal Kawasaki ZX636 berada di lorong kanan nyaris merempuh belakang kereta mewah tersebut dan pemandu itu kemudian terus memecut.

Hang kemudian cuba meneruskan perjalanannya dengan menggunakan lorong kiri tetapi dihalang oleh kereta itu.

Bagaimanapun tidak berapa lama kemudian, pemandu itu sekali lagi menekan brek agar Hang merempuh belakang keretanya namun tindakannya itu gagal kerana mangsa sempat mengelak.

Bermula dari situ berlakunya kejadian kejar mengejar dan di penghujung video, BMW itu berhenti mengejut di depan laluan mangsa dan buat kali ketiga mangsa nyaris terlanggar kereta itu.

Sehingga kini, video kejadian itu kini tular di media sosial dan semakan netizen mendapati pemandu kereta bernombor plat AJB 818 itu dimiliki lelaki berusia 36 tahun yang berasal dari Bidor, Perak. - Kedahnews.com