Sejarah Penubuhan Mahkamah Negeri Kedah


Sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu sekitar tahun 1948, Mahkamah-mahkamah di Negeri Kedah telah diwujudkan berdasarkan peruntukan di bawah Enakmen Mahkamah-mahkamah Kedah 1909. 

Untuk makluman pembaca setia Kedahnews antara mahkamah-mahkamah yang wujud di bawah Enakmen tersebut ialah Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi (Mahkamah Besar), Mahkamah Syariah dan Mahkamah Daerah. 

Pada tahun 1909 hakim-hakim Mahkamah Rayuan adalah terdiri daripada ahli Majlis Negeri Kedah dan dua orang pakar undang-undang Syariah. Hakimnya merupakan penolong kepada penasihat British iaitu Mr.J.G.Richer dan dua orang pakar undang-undang Syariah yang terdiri daripada Haji Muhammad sahid dan Sheikh Jarum. 


Untuk pengetahuan, ketua Hakim Mahkamah Tinggi pada masa itu pula ialah Tuan Syed Hassan Barakbah. Apabila termeterainya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 yang mana melibatkan juga negeri Kedah maka sebuah Persekutuan yang didasarkan kepada prinsip-prinsip pengasingan kuasa telah terbentuk. 

Kesan daripada perjanjian tersebut sistem perundangan di Negeri Kedah adalah terdiri daripada State Council yang hanya mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang dalam perkara-perkara yang berkenaan dengan agama dan adat resam sahaja. Pada 1 Januari 1948 sebanyak 10 buah Mahkamah Seksyen telah diwujudkan di Negeri Kedah iaitu di Alor Setar, Baling, Bandar Bahru, Kuala Nerang, Kulim, Sik, Gurun, Jitra, Langkawi dan Sungai Petani Kedah. 


Terdapat dua orang presiden Mahkamah Seksyen pada ketika itu yang terdiri daripada Tuan Azmi Bin Hj Mohamad dan Tuan Syed Sheikh Bin Syed Hassan Barakbah. Alor Setar merupakan pusat atau ibu pejabat pada masa tersebut dan kedua-dua orang Presiden Mahkamah seksyen tersebut akan bergilir-gilir bertugas di Mahkamah Seksyen di luar Alor Setar. 

Pada ketika itu di Negeri Kedah terdapat lima belas buah Mahkamah termasuk yang diwujudkan atas nasihat pihak Negeri yang mana ia akan digunakan jika ada keperluan. Mahkamah-mahkamah Majistret tersebut ialah di Alor Setar, Gurun, Jitra, Kuala Nerang, Kulim, Langkawi, Sik, Sungai Petani dan Yan. 


Manakala Mahkamah-mahkamah Majistret yang diwujudkan atas nasihat pihak Negeri Kedah ialah Kokdiang, Kuala Ketil, Changlun, Sanglang dan Serdang. Selari dengan sejarah perkembangan Institusi Kehakiman dan Pentadbiran Keadilan di Negeri Kedah Darul Aman ialah pembinaan bangunan Mahkamah. 

Dikatakan bahawa Bangunan Mahkamah Alor Setar pernah ditempatkan di Bangunan yang sekarang ini yang dikenali sebagai Balai Seni Negeri. Bangunan tersebut dibina pada tahun 1892 dan berperanan sebagai Mahkamah Tinggi namun kemudiannya bertukar menjadi pejabat kepada beberapa jabatan kerajaan negeri sebelum dijadikan Balai Seni Negeri. 


Pada tahun 1927 sebuah bangunan telah dibina di Jalan Raja, Alor Setar untuk dijadikan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Alor Setar. Namun, kemudiannya telah berpindah ke sebuah bangunan yang terletak di persimpangan Jalan Putera iaitu bersebelahan Balai Nobat di Jalan Kampung Baru. 

Mahkamah Negeri Kedah yang terkini terdiri daripada 3 buah Mahkamah Tinggi yang terletak di Kompleks Mahkamah Alor Setar yang mendengar kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.