Selain T-Shirt Kelabu, Ini Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Mark Zuckerberg


PADA Mei 2012, lapan tahun setelah penubuhannya, Facebook mula disenaraikan di Bursa Saham New York.

Pada waktu itu juga, ia menjadi penyenaraian saham perdana (IPO) bidang teknologi yang terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah.

Setiap tahun setelah penyenaraian itu, pengasasnya, Mark Zuckerberg memperoleh kekayaan bersih berjumlah AS$9 bilion (RM35 bilion).


Statusnya sebagai antara usahawan teknologi terkaya di dunia tidak menghalang bekas penuntut Harvard itu untuk menjalani hidup serba sederhanana bersama isterinya, Priscilla Chan dan dua anak perempuannya.

Seperti mana-mana individu lain yang bekerja di Lembah Silicon, Zuckerberg juga ada uniform tersendiri.


Dia gemar berpakaian kasual, memakai t-shirt kelabu sahaja tetapi direka oleh jenama mewah dan dilaporkan harganya jauh lebih mahal daripada apa yang dilihat.

Dia juga gemar memandu kereta biasa. Sebelum ini, dia dirakam sedang memandu kereta Acura TSX, sebuah Volkswagen hatcback dan Honda Fit, yang mana setiap kereta itu bernilai $30,000 (RM117,135) dan ke bawah.

Namun, ada satu perkara dia tidak kisah berbelanja lebih iaitu hartanah.

Pada Mei 2011, dia membeli rumah berkeluasan 5,000 kaki persegi yang bernilai AS$7 juta (RM27 juta) yang terletak di Palo Alto.

Pada tahun berikutnya, Zuckerberg membeli hartanah di sekeliling rumahnya, berbelanja lebih AS$30 juta (RM117 juta) untuk empat lagi rumah dengan perancangan untuk pengubahsuaian semula.

Dia turut memiliki sebuah rumah townhouse di Mission District, San Fransisco.

Dia membeli rumah seluas 5,500 kaki persegi itu pada 2013 sebelum membuat keputusan untuk membelanjakan lebih AS$1 juta (RM3.9 juta) untuk pengubahsuaian semula dapur dan pembinaan rumah hijau.

Pada 2014 pula, jutawan itu membelanjakan AS$100 juta (RM390 juta) untuk membeli dua hartanah di kepulauan Kauai, di ladang Kahu'aina yang pernah menjadi tempat penanaman tebu seluas 357 hektar, serta hartanah di Pantai Pila'a seluas 393 hektar termasuklah sebuah pantai pasir putih.

Ujar pengasas Facebook itu, dia dan isterinya membeli tanah itu kerana mahu mengekalkan keindahan alam semula jadi di kawasan itu.

Walaupun dia kelihatan seperti jarang melancong, dia sebenarnya membelanjakan hampir AS$5 juta (RM19.5 juta) bagi kos pengangkutan dan keselamatan ketika melancong pada 2015.

Kos itu dikatakan lebih meningkat apabila jutawan itu mengembara di Amerika sewaktu musim panas pada 2017.

Ia merupakan impian peribadinya untuk melawat setiap negeri di Amerika pada setiap tahun.

Sewaktu lawatan itu, Zuckerberg menghadiri makan malam bersama sebuah keluarga di Ohio, bertemu pekerja di kilang Ford, dan melawat pegawai tentera baharu.

Dia turut berkongsi gambar lawatan tersebut di laman Facebook.

Walaupun percutiannya kelihatan mewah, dia sebenarnya lebih gemar memberi wang berbanding membelanjakannya untuk diri sendiri.

Malah, dia menyertai Bill Gates dan Warren Buffet bersama lebih 100 lagi jutawan lain dalam program Giving Pledge yang berjanji untuk mendermakan separuh dari kekayaan mereka.

Zuckerberg juga merancang untuk menjual 99 peratus pegangan sahamnya di Facebook sepanjang hidupnya.

Dia yang mempunyai kawalan penuh terhadap masa depan Facebook turut merancang untuk mempercepatkan penjualan saham itu bagi mencari dana untuk The Chan Zuckerberg Initiative.

Katanya pada September 2017, dia merancang untuk menjual 35 ke 75 juta pegangan saham dalam tempoh lapan bulan yang mana ia berjumlah antara AS$6 billion (RM23.4 bilion) AS$12 bilion (RM46.8 bilion).

Sebahagian hasil keuntungan itu akan disalurkan ke Chan Zuckerberg Initative, satu organisasi kebajikan yang dikelola oleh isterinya dalam fokus untuk meningkatkan pendidikan, merawat penyakit, menyatukan masyarakat dan membina komuniti yang lebih kuat.

Pada tahun 2016, mereka melabur AS$3 billion (RM11.7 bilion) untuk organisasi itu dalam penyelidikan untuk pencari penawar pelbagai jenis penyakit. 

Sumber: Business Insider