Selepas Sertai PAN Hari Ini, Mahfuz Diminta Kosongkan Pokok Sena


Selepas mengumumkan untuk menyertai Parti Amanah Negara (PAN) hari ini, bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar diminta 'mengosongkan' segera kerusi Parlimen Pokok Sena.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pengumuman Mahfuz itu  tidak mengejutkan kerana tindakannya Mahfuz dari awal jelas cenderung kepada PAN.

Mahfuz perlu kosongkan kerusi yang dimenangi di atas tiket PAS sebagaimana yang beliau lafazkan semasa mengangkat sumpah  baiah sebelum PRU13.

"Saya tiada masalah peribadi dengan beliau dan sesiapapun yang meninggalkan PAS, kata Tuan Ibrahim yang dipetik daripada BH.

"Bagi PAS, beliau perlu kosongkan kerusi yang dimenangi di atas tiket PAS sebagaimana yang beliau lafaz (bai'ah) dahulu.

Sebelum ini ADUN PAS Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah  meninggalkan PAS dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

PAN dikatakan masih memujuk beberapa ADUN PAS di negeri ini untuk menyertai parti itu menjelang PRU14. 

Namun perkara itu dinafikan oleh pucuk pimpinan PAS Kedah yang menyifatkannya sebagai provokasi menjelang pilihan raya.

PAS akan bertanding di semua 36 kerusi DUN dan 15 Parlimen di Kedah pada PRU14 dalam usaha merampas semula negeri ini yang pernah diperintahnya pada 2008 hingga 2013. - Kedahnews.com