KUALA LUMPUR - Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berpendapat, isu pemain sengaja melengahkan permainan membuktikan semangat kesukanan dalam kancah bola sepak tempatan sudah merosot.
Bagaimanapun, beliau enggan menyalahkan pemain semata-mata, sebaliknya menegaskan tindakan itu kini sudah menjadi taktik oleh jurulatih di seluruh dunia.
"Kalau kita lihat, insiden melengahkan permainan bukan hanya berlaku dalam Liga Malaysia (Liga-M) malah liga di luar negara seperti EPL (Liga Perdana Inggeris), La Liga (Sepanyol) dan lain-lain lagi.
"Sekarang, pemain melengahkan permainan selepas mendahului sudah menjadi taktik dalam bola sepak di Malaysia, bila dapat gol awal, pasukan akan buat macam-macam untuk buang masa.
"Kalau di EPL, Pep Guardiola (pengurus Manchester City) sendiri pernah menyuarakan perkara ini bahawa pasukan lawan akan melakukan macam-macam, kerana itu adalah taktik mereka," katanya ketika dihubungi, semalam.
Isu pemain sengaja melengahkan permainan menjadi perhatian apabila pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tidak berpuas hati dengan aksi segelintir anak buahnya ketika menewaskan Sabah 2-1 pada aksi pusingan kedua Piala FA di Likas, Sabtu lalu.
Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan itu memberitahu, tindakan pemain melengahkan permainan adalah penyakit dalam bola sepak dan mahu pengadil memberikan kad kepada pemain terbabit.
Serbegeth atau turut dikenali sebagai Shebby bersetuju dengan kenyataan Tunku Ismail dengan menyatakan hanya pengadil boleh mengawal pemain dalam padang.
"Kita tak boleh menyalahkan pemain saja kalau itu arahan yang diberikan oleh jurulatih tapi pengadil boleh mengawalnya dengan mengambil tindakan tegas. Memang ada hukuman kepada pemain yang sengaja melambatkan permainan ini," katanya yang kini bertugas sebagai pengulas di stesen televisyen antarabangsa.
Sumber: BH Online