Sentimen Rakyat Terhadap Harga Tol Semakin Baik



KUALA LUMPUR - Kajian analisis sentimen yang dijalankan Berkshire Media menunjukkan sentimen rakyat terhadap isu tol semakin baik terutamanya pada tahun lepas, berbanding tahun 2015 dan 2016.

Menurut analisis berkenaan, sentimen rakyat pulih susulan pengumuman pemansuhan tol di empat lebuh raya utama yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018.

Menerusi Bajet 2018, Datuk Seri Najib mengumumkan pemansuhan tol di Tol Batu Tiga, Tol Sungai Rasau, Tol Bukit Kayu Hitam dan Tol Eastern Dispersal Link Johor.

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan & Pembangunan Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya Profesor Madya Dr Rosmadi Fauzi, sentiment positif ini akan terus bertahan selagi ia dapat memberikan persepsi ia mampu mengurangkan beban pengguna dan kos rakyat.

“Isu kos sara hidup merupakan isu dominan rakyat di kawasan bandar dan golongan pekerja, jadi pengumuman pemansuhan tol tahun lepas adalah selari dengan hasrat untuk mengurangkan beban rakyat. Namun begitu masih ada isu material lain yang diharapkan rakyat untuk diselesaikan kerajaan,” jelasnya kepada Astro AWANI.

Data kajian Universiti Malaysia dari tempoh Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) sehingga menuju PRU14, kos sara hidup merupakan isu dominan rakyat terutama di kawasan bandar dan golongan pekerja.

Sumber: Awani