IINDUSTRI persenjataan Malaysia yang kian pesat dengan bantuan teknologi canggih serta latihan kepakaran dan kemahiran telah berupaya menghasilkan peluru buatan sendiri.
Penghasilan peluru buatan tempatan itu pastinya menghasilkan pulangan lumayan dan secara tidak langsung membantu menaikkan ekonomi negara apabila mendapat permintaan tinggi dari pihak luar.
Pengarah Polycase Asia Sdn. Bhd., Zaikry Sany Mohd. Isa berkata, industri peluru perlu melakukan konsep perkongsian keuntungan supaya pihak penjual dan pembeli dapat meraih keuntungan secara bersama.
Namun, untuk menghasilkan barangan yang berbahaya ini juga semestinya perlu ada perjanjian supaya tidak berlaku penggunaan sewenang-wenangnya.
Pihaknya telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat pengeluar peluru dari Amerika Syarikat (AS), Polycase Ammunation pada tahun 2016.
“Kami tidak bayar yuran pemindahan teknologi atau royalti sebaliknya mengamalkan konsep perkongsian keuntungan. Melalui MoU ini, pemindahan teknologi berlaku dalam penghasilan peluru dari AS ke negara ini seterusnya menghasilkan peluru kita sendiri,”
“Kami pula dapat menghasilkan peluru dengan kos lebih rendah iaitu tidak sampai 50 peratus daripada kos sekarang. Dengan ini, kita dapat menjual peluru pada harga lebih murah berbanding sekarang,” katanya pada akhbar tempatan.
Dalam perkembangan lain, terdapat juga sebuah lagi syarikat tempatan yang telah mempunyai kilang penghasilan peluru di dalam negara.
Bagaimanapun, Zaikry memberitahu, syarikatnya berlainan dengan syarikat tersebut kerana beliau merancang menghasilkan peluru dengan memasangnya di dalam negara, malah komponen yang digunakan seperti anak peluru dan kelongsong juga dihasilkan sendiri.
Syarikatnya juga telah berkerjasama dengan PolyOne Corporation dari AS bagi mendapatkan bahan utama iaitu serbuk tembaga dan polimer.
“Selepas itu, anak peluru ini dan kelongsong yang juga dihasilkan sendiri akan disatukan bersama-sama serbuk letupan, rim dan primer menjadi peluru lengkap menggunakan sebuah mesin lain,” ujar Zaikry.
Menurutnya lagi, pihaknya boleh menghasilkan tujuh butir peluru dalam tempoh seminit dan kira-kira 20 juta peluru sebulan dan mampu menghasilkan peluru seberat 65 garain (4.21 gram).
Tambahan pula, mereka boleh mencipta corak tersendiri pada anak peluru serta warna mengikut kemahuan pelanggan.
Kini, Polycase Asia Sdn. Bhd. bekerjasama dengan German-Malaysian Institute (GMI) di Bangi, Selangor untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana penggunaan mesin yang serupa.
Peluru yang dihasilkan juga akan dijual di negara-negara rantau Oceania seperti New Zealand dan Australia serta negara-negara di Asia Barat. - Kedahnews.com