ZAMAN sekarang, laman sosial memang menjadi satu perkara penting dalam aktiviti seharian. Manakan tidak, untuk berkomunikasi, mengetahui berita semasa, berhubungan sesama keluarga, mencari resipi masakan, sehingga mencari tip kecantikan, semuanya ada tersedia di laman sosial ini.
Namun, kerana sikap terleka, ada antara pengguna yang tersasar dari tujuan sebenar menggunakan laman tersebut. Sehingga muncul pelbagai masalah termasuk keretakan rumah tangga.
Masalah ini nampak biasa berlaku, namun bagi empunya diri yang mengalaminya, terasa dunia telah gelap dan kekecewaan yang dialami mungkin akan diingati hingga akhir hayat.
Emel penulis sendiri pernah menerima satu pengakuan daripada seorang isteri yang mahu dikenali sebagai Nor, berusia 36 tahun dan mempunyai tiga orang anak, berkongsi liku hidup yang dihadapi apabila mengetahui suaminya curang.
Saya bercerita ini bukan kerana mahu aibkan sesiapa, tetapi sebagai pedoman bersama.
Suami saya seorang yang baik, penyayang dan rajin bekerja mencari rezeki kami anak beranak. Suami saya juga bukan seorang yang mahir menggunakan media sosial seperti Facebook dan WeChat di telefon ketika itu.
Tetapi bila dah pandai, lain jadinya. Buktinya sejak ada WeChat, saya lihat semakin hari suami saya semakin berbeza perlakuannya. Telefonnya tidak pernah renggang dengannya.
Suami juga sering keluar rumah pada waktu malam dan beralasan untuk bertemu rakan lelakinya yang juga saya kenali. Tetapi saya pelik sebab ada beberapa kali, pulang lewat sehingga awal pagi.
Apabila saya cuba menelefon, tidak berjawab. Alasan selalu diberi, apabila pulang pada awal pagi itu, dia tertidur di rumah kawan tersebut kerana terlalu penat. Sejak itu, hati saya sebagai isteri berasa lain.
Pada suatu hari, ketika saya baru habis pantang anak ketiga dan telah pulang ke rumah sendiri, hati tergerak untuk memeriksa telefon suami ketika dia sedang tidur.
Dan seperti ALLAH mahu menunjukkan kecurangannya, saya berjaya membuka WeChat suami, serta terlihat satu perbualan yang agak intim antara suami dan seorang wanita yang saya agak sudah lama terjalin.
Lebih meremukkan hati, apabila terbaca perbualan mereka yang bercerita mengenai perhubungan mereka pada satu malam ketika mereka bertemu yang saya rasa berlaku ketika saya bercuti pantang anak ketiga di rumah ibu di kampung.
Ya ALLAH, terus saya beristighfar dan mengurut dada. Rasa marah, kecewa dan sedih semuanya bercampur. Saya mahu tahu, kenapa suami melakukan hal yang demikian?
Selama ini saya percayakan dia dan sayangkan dia sebagai suami, makan pakainya semuanya saya sediakan, di mana saya sendiri bekerja untuk membantunya dalam perbelanjaan keluarga, balik rumah, terkocoh pula untuk hidangan makan malam.
Tetapi ini yang dibalasnya, curang di belakang saya dengan perempuan lain sejak beberapa bulan lalu tanpa pengetahuan saya.
Mata berkaca ketika saya mengejutkan suami, "apa ni abang? sampai terlanjur dengan perempuan lain?" sambil menunjukkan telefon kepadanya yang sedang mamai, air mata saya laju menuruni pipi.
Hati saya hancur dan kecewa, "Abang dah tak sayang Nor ke? Siapa perempuan ni, sejak bila berhubungan dan sanggup sampai tahap macam ni? saya bertanya pada suami yang sudah duduk di birai katil.
Nak lepaskan nafsu
"Maafkan abang Nor, ya ALLAH abang mengaku abang salah...abang sayang Nor, Nor tidak ada apa-apa kekurangan. Abang yang gatal kenal perempuan tu yang juga isteri orang. Dan ada tempat melepaskan nafsu ketika Nor berpantang," akuinya sambil mahu memegang tangan saya untuk memohon maaf.
Saya membatukan diri, air mata lencun membasahi baju yang saya pakai. Di hati tersentap apabila suami mengatakan ingin memuaskan nafsu ketika saya pantang bersalin yang tidak dapat melayaninya. "Ya ALLAH, tak kan la, tidak boleh bersabar dan tahan hanya beberapa bulan ini sahaja, sebelum ini, bila abang nak, saya turutkan," sedihnya hanya ALLAH yang tahu.
Saya bangun lantas ke bilik air untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat sunat, kerana hanya kepada ALLAH segalanya diluahkan.
Kepada siapa lagi, jika mahu diluahkan dengan orang lain, ia tidak baik kerana akan membuka aib sendiri. Jika mahu menghubungi ibu, nanti berdosa membuka aib suami.
Dalam solat pun, air mata saya masih berguguran, saya minta ALLAH kuatkan hati saya, tunjukkan jalan yang perlu saya ambil. Dalam masa sama, saya merasakan mungkin ada silap saya sendiri yang menyebabkan suami mengambil tindakan begitu.
Suami juga mengikuti saya dan bertanya bagaimana untuk solat taubat, kerana dia turut menyesali atas perbuatannya dan bersumpah tidak akan ulanginya lagi.
Sujud saya agak lama, kerana ketika itu, segalanya diluahkan di dalam hati.
Sumber: Sinar Harian