Sultan Ahmad Shah Dinobat Tokoh Sukan ASN 2017


KUALA LUMPUR - Atas jasa dan bakti yang dicurahkan sepanjang dua dekad selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dinobat sebagai penerima Anugerah Tokoh Sukan pada malam Anugerah Sukan Negara 2017 (ASN 2017).

Sumbangan baginda sejak mengemudi badan induk itu pada 1984 tidak dapat dinafikan selepas kejayaan demi kejayaan berjaya diraih skuad kebangsaan sehingga berjaya menduduki ranking ke-79 dunia pada tahun 1993 yang juga merupakan pencapaian terbaik negara sehingga kini.

Peranan baginda yang juga Yang di-Pertuan Agong ketujuh dalam memantapkan kancah saingan Liga Malaysia (Liga-M) jelas terbukti selepas memperkenalkan Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada tahun 1984 yang menjadi aksi pembuka tirai bagi saingan liga berkenaan.

Selain memikul tanggungjawab selaku Presiden FAM, baginda turut dilantik sebagai Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada tahun 1994-2002 dan antara sumbangan terbesar baginda adalah kejayaan menempatkan ibu pejabat AFC di Kuala Lumpur.

Sumbangan baginda dalam membangunkan sukan bola sepak dibuktikan dengan kebangkitan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara yang berjaya menamatkan kemarau 20 tahun ibu segala pingat pada temasya Sukan SEA Laos 2009 sebelum mempertahankan kilauan emas itu pada edisi 2011 di Palembang, Indonesia.

Selain itu, kebangkitan skuad senior kebangsaan juga dapat dilihat pada era kepimpinan baginda selepas Malaysia berjaya menjuarai Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2010 mengatasi Indonesia di final.

Baginda juga adalah individu yang bertanggunjawab mengadakan perlawanan amal membabitkan skuad kebangsaan menentang Palestin sehingga berjaya meraih RM 416, 635 untuk disalurkan ke dana Tabung Bantuan Rakyat Palestin.

Baginda yang diputerakan pada 24 Okt 1930 di Istana Manggal Tunggal di Pekan diberi jolokan 'Peminat No.1 Sukan Malaysia' oleh pengamal media sukan tempatan atas minatnya yang mendalam terhadap sukan selain dikenali di dalam dan luar negara sebagai pemain polo yang hebat.

Baginda turut memberikan sokongan kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik apabila menghadiri beberapa edisi temasya sukan terbesar dunia itu antaranya di Los Angeles, Seoul, Barcelona dan Atlanta.

Rentetan pelbagai sumbangan yang dicurahkan khususnya dalam pembangunan sukan bola sepak di Asia, baginda dikurniai Anugerah Bola Sepak Olimpik Antarabangsa pada 1982. Baginda adalah satu-satunya warga Malaysia yang diiktiraf dengan anugerah berprestij itu.

Baginda turut menerima anugerah 'FIFA Order of Merit' atas sumbangan sepanjang hayat dalam arena bola sepak pada 2012.

Sehingga kini, pada usia 87 tahun baginda masih aktif mencurah bakti di dalam arena bola sepak sebagai Presiden AFF yang mula disandang baginda pada 2007. - Bernama