Super Duper Talent! Idayu Tiru 30 Suara Artis Terkenal


BARU-BARU ini tular sebuah video memaparkan juara Akademi Fantasia Megastar, Idayu Yaakob berjaya meniru kira-kira 30 suara penyanyi terkenal tempatan dan antarabangsa.

Video yang tular itu sehingga kini dilihat telah mendapat lebih satu juta tontonan di ruang maya dan berjaya menarik perhatian netizen.

Rata-rata antara mereka meninggalkan komen dan respon positif terhadap kebijaksanaan Idayu menggunakan teknik nyanyian meniru suara asal artis tersebut.

Susulan perkara itu, Idayu sama sekali tidak sangka video itu menjadi bualan hangat selain memberitahu bahawa video tersebut dirakam di studio secara suka-suka kerana ingin mencuba keupayaannya meniru vokal penyanyi lain.

“Sejak 2003, saya mampu meniru vokal atau ‘mimic stars’ penyanyi tempatan dan luar negara.

“Rakan-rakan artis yang rapat dengan saya seperti Akma AF, Farah AF, Dina Nadzir, Elda Susanti dan beberapa orang lagi pernah buat persembahan dengan saya, semua tahu keupayaan saya itu.

“Cuma dulu saya tak berkesempatan untuk buat rakaman secarasempurna seperti sekarang. Video yang anda semua lihat itu dirakamkan pada Februari lalu.

“Teman baik saya, Amylea turut ada sewaktu sesi rakaman suara dijalankan,” katanya dipetik sebuah portal online.

Menerusi rakaman itu, pemilik nama sebenar Nur Farah Idayu Yaakob itu dilihat meniru beberapa suara penyanyi antaranya Jaclyn Victor, Wann, Dayang Nurfaizah, Ning Baizura, Ziana Zain, Dessy Fitri, Shakira, Celine Dion, dan Mariah Carey.

Bukan itu sahaja, malah Idayu turut berjaya meniru lenggok nyanyian dua suara penyanyi lelaki terkenal iaitu Michael Jackson dan Rahmat Ekamatra yang mana mendapat pujian melambung daripada netizen.

“Bakat meniru suara diakui sangat susah sebab kita harus mendapatkan nada dan sebutan yang tepat. Stail dan karakter nyanyian artis serta teknik yang digunakan artis tersebut.

“Maknanya kita harus faham elemen vokal itu. Sebelum mulakan rakaman di studio, saya akan ulangkaji yang sepatutnya dan juga rujukan berkenaan suara pemilihan artis.

“Memang sukar tiru sebab nada suara penyanyi beza. Sebab itu latihan amat penting.Alhamdulillah, saya memang bersyukur dikelilingi mereka yang menyokong bagi memastikan projek saya berjalan lancar,” ujar Idayu.

Memetik sumber, Idayu kini telah mempunyai 30 buah koleksi lagu yang telah dinyanyikan semula. – Kedahnews.com