ALOR SETAR - Penduduk Kampung Sungai Rotan bakal mengadakan kenduri sebagai tanda kesyukuran berikutan masalah air yang membelenggu mereka selesai.
Seorang penduduk, Norhayati Ramli, 50, berkata, masalah air di kampung mereka selesai selepas pihak Syarikat Air Darul Aman (Sada) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memasang elektrik di rumah pam, Khamis lalu.
“Bila ada ayaq macam ni rasa seronok tak tau nak habaq, terima kasih la kepada semua pihak terlibat seperti ketua kampung, pihak pengurusan ayaq yang mai pasang elektrik di rumah pam.
“Kalau depa tak pasang lagi elektrik tu sampai bila pun ayaq tetap tak akan ada, jadi penduduk kampung bersyukur dan berterima kasih sangat-sangat,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Tambah Norhayati, penduduk kampung akan bergotong-royong dan berkongsi wang untuk mengadakan kenduri.
“Masanya belum diputuskan lagi tapi insya-ALLAH akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya memetik Sinar Online.
Katanya, jika sebelum ini penduduk terpaksa menelefon pihak pengurusan air untuk menghantar air namun sekarang tidak lagi.
“Alhamdulillah petang semalam, depa mai pasang elektrik dan mula ada ayaq jadi lepas ni tak perlu dah telefon depa hantaq ayaq,” ujarnya.
Bagi seorang lagi penduduk, Noroden Abdul Rahim, 54, berkata, dia dan penduduk yang lain berasa sangat gembira dan bersyukur.
“Sebelum ni nak ambil wuduk pun terpaksa berjimat, lepas ni alhamdulilah semuanya akan jadi sempurna.
“Harapnya bekalan ayaq ni kekal la sampai bila-bila sebab kami penduduk kampung dah lama susah, berilah kami rasa kesenangan adanya ayaq ni,” katanya.
Terdahulu, sebuah akhbar tempatan telah melaporkan keperitan sebahagian penduduk Kampung Sungai Rotan yang menderita ekoran ketiadaan sumber air sejak lima tahun lalu.- Kedahnews.com