Syukur...Masalah Hutang Masjid Selesai


SERDANG - Isu bebanan hutang ditanggung pengurusan Masjid Kompleks Pertanian Serdang kini selesai hasil sumbangan masyarakat awam yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan dan derma bagi menyelesaikan bayaran kepada pihak kontraktor.

Imam masjid berkenaan, Ismail Roslon berkata, sebelum ini, pihak pengurusan masjid berdepan masalah bebanan hutang dengan kontraktor yang dilantik ekoran tidak mempunyai dana yang mencukupi bagi tujuan pembinaan masjid baharu tersebut.

“Namun begitu, kita bersyukur kerana ALLAH mempermudah segala urusan dan membolehkan semua hutang-hutang itu dibayar kepada pihak berkenaan pada bulan lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ismail berkata, semasa peringkat permulaan pembinaan masjid tersebut, pihaknya menerima dana daripada Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) sebanyak RM50,000.

Jumlah keseluruhan dana yang diperolehi pada peringkat permulaan pembinaan adalah sekitar RM800,000 hasil sumbangan orang awam dan Zakat Selangor.

“Kita mula kumpul dana sejak tahun 2008 dan pada 2012, projek tersebut dimulakan di mana kami memilih kontraktor yang menawarkan harga terendah.

“Namun pihak pengurusan mula berdepan masalah apabila dana diperoleh tidak mencukupi, ekoran itu kami masih meneruskan kutipan dana semasa projek sedang berjalan.

“Apabila projek siap, kami masih ada lebihan hutang sekitar RM300,000 ke RM400,000 termasuk bayaran kepada perunding,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata jumlah keseluruhan pembinaan masjid tersebut adalah sekitar RM8.3 juta malah pihak kontraktor juga turut mendahulukan wang mereka bagi menyiapkan projek tersebut mengikut tempoh ditetapkan.

Berikutan kesulitan dialami bagi melunaskan bayaran tersebut, Ismail berkata pihaknya terpaksa memohon sumbangan daripada orang awam bagi membantu menyelesaikan masalah itu.

“Syukur kerana kami tidak pernah berdepan masalah kelewatan pembayaran dan semua hutang-hutang ini dapat dilangsaikan pada bulan lalu,” katanya.

Sumber: Sinar