'Tak Sanggup Buka Tudung Biarpun Terdesak'


KUALA LUMPUR - Aktres Ardell kesal masih ada segelintir pihak membuat spekulasi dia sanggup membuka tudung dalam menghidupkan watak kerana terdesak mendapatkan tawaran berlakon.

Ardell atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd Amin, 28, memberitahu, masih ada pihak keliru dengan penampilan dirinya apabila menonton drama lama yang menampakkan dia tidak berhijab.

"Apabila drama yang sudah lama selesai menjalani penggambaran disiarkan, ada pihak fikir saya sudah tanggalkan tudung kerana terdesak.

"Sedangkan mereka tidak tahu proses suntingan mengambil masa... Drama yang siap menjalani penggambaran tidak terus disiarkan.

"Jadi timbullah spekulasi kononnya saya sanggup membuka tudung demi kelangsungan karier," katanya kepada BH Online.

Ardell mengaku pernah meluahkan rasa sedih kepada syarikat pengurusan apabila beberapa tawaran ditarik balik selepas dia berhijrah.

"Namun, ia sekadar luahan. Tidaklah sampai saya sanggup tanggalkan tudung. Malah, ada tawaran yang saya tolak kerana melanggar batas saya sebagai wanita berhijab," katanya.

Ardell yang ketika ini menggunakan pendakap gigi, lega alat itu dapat membezakan penampilan wajahnya dulu dan sekarang.

"Biar apa pun kata orang, saya sekarang bersyukur diberi rezeki dalam bidang lain pula," katanya yang ditawarkan menjadi model jubah atau abaya di pentas peragaan di Dubai.

Berkongsi keterujaannya, Ardell berkata, jubah itu direka khas untuk wanita bertubuh kecil.

"Lazimnya, kita lihat abaya digayakan wanita tinggi lampai. Jadi wanita kecil-molek seperti saya dapatlah mencari jubah sesuai," katanya yang terikat dengan tugas itu hingga bulan depan.

Sumber: BH Online