“Tak Sia-Sia Tebal Muka Tegur Remy Ishak...”


PETALING JAYA - Keterangan gambar dalam posting di laman sosial Instagram milik pelakon Remy Ishak pada Rabu lalu menarik perhatian.

“Seorang lelaki secara spontan datang kepada saya dan meminta kebenaran untuk mengambil gambar saya semasa penggambaran iklan. Terima kasih di atas ‘tangkapan’ (gambar) yang baik,” kata Remy.

Gambar hitam dan putih itu memaparkan pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu memakai baju lengan panjang putih berposing seperti seorang model.

Setakat ini, gambar tersebut mendapat lebih 28,000 tanda suka (like) dan lebih 500 komen, rata-rata memuji ketampanan pelakon itu..

Ia sebenarnya dirakamkan oleh seorang jurugambar yang sebelum ini pernah tular dengan rekaan alternatif semasa kontroversi gaun ‘nasi lemak daun pisang’ rekaan pereka fesyen, Brian Khoo yang ketika itu bakal dipakai wakil Malaysia, Samantha Katie James pada pertandingan ratu cantik Miss Universe 2017.

Jurugambar berkenaan, Rafil Thazali berkata, gambar Remy itu sebenarnya diambil pada hari dia terlibat dalam satu penggambaran jenama busana muslimah kontemporari di sebuah banglo dekat Genting Highlands, Khamis minggu lalu.


Bagaimanapun, pemuda berusia 35 tahun itu menjelaskan dia langsung tidak terlibat dengan penggambaran yang melibatkan Remy, sebaliknya dilantik sebagai jurugambar bagi dua selebriti lain tetapi di dalam banglo yang sama.

“Sesi penggambaran melibatkan dua selebriti itu pada pukul 8 malam, tetapi saya sudah berada di lokasi penggambaran seawal 7 pagi.

“Sepanjang hari saya hanya menunggu sementara tiba giliran saya. Dan sepanjang tempoh menunggu tu saya simpan saja kamera dalam beg,” katanya kepada mStar Online.

Rafil yang juga merupakan pereka grafik memberitahu, dia mula membuat persiapan dengan mengeluarkan kamera dan set lampu serta kelengkapan lain untuk tugasannya sekitar pukul 7 petang.

Secara kebetulan, Remy baru hendak berehat selepas menyelesaikan sebahagian babak iklan komersialnya, sebelum mengambil tindakan berani menegur pelakon itu.

“Saya tebalkan muka pergi tegur Remy minta izin untuk ambil gambar dia. Alhamdulillah, dia sudi bergambar, malah memberikan kerjasama yang baik. Muka tebal membuahkan hasil.

“Ada beberapa keping gambar Remy yang saya ambil dalam masa singkat kira-kira lima minit, dan lepas tu saya kata akan gunakannya di studio,” katanya sambil menambah dia kemudian memuat naik gambar tersebut di Instagram menerusi Instastory sebelum menerima mesej peribadi (PM) daripada Remy di laman sosial meminta gambar berkenaan dikongsikan.


Selain tular dengan rekaan alternatif gaun ‘nasi lemak daun pisang’, Rafil juga pernah mencetuskan logo alternatif ‘Visit Malaysia 2020’ (Tahun Melawat Malaysia 2020) susulan kontroversi logo yang diperkenalkan baru-baru ini sehingga menjadi perdebatan netizen.

Sumber: Mstar Online