Telefon ‘Pisang’ Nokia Bakal Masuk Pasaran


PADA tahun 1996, Nokia telah memperkenalkan model telefon bimbit ‘pisang’ atau banana phone; tiga tahun kemudian, model itu menjadi sangat popular selepas Keanu Reeves menggunakannya di dalam filem The Matrix.

Hari ini, 22 tahun selepas ianya pertama kali menjengah ke radar peminat peranti mudah alih, Nokia 8110 ini kini telah menjalani transformasi yang lebih moden dan sejajar dengan arus peredaran zaman.

HMD, pembuat telefon jenama Nokia, bakal membawa model Nokia 8110 kembali ke pasaran tidak lama lagi.

Nokia 8110 akan menggunakan sistem perisian Smart Feature OS, bermakna pengguna tidak akan mendapat akses ke aplikasi Android yang terdapat di telefon pintar Android Nokia lain.

Bagaimanapun, HMD sedang mencipta sebuah gedung aplikasi untuk peranti itu, yang akan turut membolehkan pengguna mengakses Facebook.

Antara ciri-ciri lain telefon ini ialah pemproses Qualcomm 205 Mobile Platform, 512MB RAM, 4GB penstoran, kamera 2 megapiksel dan sediaan bateri sehingga 25 hari.

Nokia 8110 ini disediakan dalam dua kemasan iaitu hitam dan ‘kuning pisang’ dan bakal dipasarkan bulan mei ini pada harga £69 (RM372.57). - Kedahnews.com