Tentera Darat Terima Enam Pesawat MD530G


KLUANG- Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) akan menerima enam pesawat MD530G yang dijangka  memasuki inventori secara berperingkat mulai pertengahan tahun ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, perolehan pesawat itu dilihat sejajar dengan Pelan Pembangunan Army 4NextG yang fokus ke arah kemampuan Tentera Darat untuk beroperasi di dua wilayah secara serentak.

Menurutnya, perubahan landskap geostrategik serantau dan global yang kian kompleks juga dilihat secara langsung mempengaruhi keselamatan, kemakmuran dan kedaulatan negara.

"Enam pesawat buatan Amerika Syarikat yang akan diperoleh itu dilihat mampu meningkatkan keperluan operasi dan kepelbagaian fungsi PUTD pada hari ini seiring dengan transformasi dan arus pembangunan semasa.

"Kita berharap dapat menerbangkan pesawat baharu ini pada hari perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini," katanya sempena perbarisan Hari Ulang Tahun PUTD Ke-23 di Rejimen 881 PUTD Kem Mahkota, di sini, semalam.

MD530G merupakan helikopter penggempur yang dibangunkan oleh syarikat MD Helicopter.

Ia lengkap disertai dengan teknologi moden yang membantu melancarkan serangan dan mempunyai prestasi tinggi dalam keadaan panas dan tinggi.  

Dalam majlis sama turut diadakan Penganugerahan Beret Kehormat PUTD kepada Panglima Tentera Darat yang disempurnakan oleh Pengarah PUTD, Kolonel Yazid Yusof.

Zulkiple juga turut menyempurnakan acara pemakaian Sayap Kuartermaster Udara Tentera Darat bagi pesawat Augusta dan Nuri kepada lima anggota berpangkat sarjan yang selesai menjalani kursus Peralihan Pesawat KMU TD.

Sumber: Sinar Online