'Terima Kasih Pembayar Zakat Kedah'


“SAYA tidak mampu menahan air mata dan perasaan sebak. Terima kasih kepada pembayar zakat negeri Kedah,” kata Abdl Kadir Osman dari Kampung Bujang apabila dimaklumkan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan membantu membina semula rumahnya yang terbakar tiga hari lalu.

Bapa kepada tiga anak berusia 54 tahun, yang masih berduka akibat kehilangan kediaman dalam kejadian kebakaran pada awal pagi Rabu, terharu dan tidak mampu menahan air mata kegembiraan apabila LZNK bersetuju membantunya membina semula kehidupan.

Dia dan isteri Hasliza Abdul Ghani 49, seakan hilang punca untuk memulakan semula kehidupan selepas mereka kehilangan semua harta benda dalam sekelip mata.

"Saya langsung tidak sedar bahawa ada kebakaran berlaku di rumah kerana ketika itu kami sekeluarga nyenyak tidur.

"Tiba- tiba kami dikejutkan oleh suara jeritan daripada kumpulan lelaki yang baru selesai bermain futsal berdekatan yang meminta kami keluar dari rumah apabila terlihat api mulai menyambar bahagian belakang rumah.

"Syukurlah kami semua selamat tetapi saya sekeluarga hanya tinggal sehelai sepinggang kerana langsung tidak sempat menyelamatkan harta benda," katanya ketika menerima bantuan awal daripada LZNK semalam.

Turut musnah dalam kejadian itu adalah semua peralatan dan pakaian sekolah anak-anaknya termasuk salah seorang dari mereka adalah Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.

"Anak saya yang menghadapi masalah pendengaranlah yang paling kecewa, apabila melihat keadaan bilik bacaannya dan semua koleksi buku miliknya turut musnah.

"Saya buntu memikirkan perlu menyediakan semula buku dan kelengkapan sekolah untuk anak-anak memandangkan musim cuti akan berakhir hujung minggu ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Zakat Kuala Muda, Ustaz Shabudin Ahmad berkata, LZNK akan membantu membina semula rumah keluarga itu di tapak yang sama.

"Kita akan menghantar laporan kepada ibu pejabat LZNK untuk dan kita harap rumah tersebut akan dibina secepat mungkin," katanya selepas menyerahkan bantuan kecemasan bencana alam untuk keluarga Abdl Kadir.

Sumber: MyMetro