'Terima Kasih PM'


SUNGAI PETANI - Selama 20 tahun, Yusri Zainal, 43 dan keluarganya menyewa sebuah rumah sewa tanpa bilik di sebuah kampung di Tanjung Dawai, di sini.

Dengan pendapatan yang tidak menentu sebagai nelayan, Yusri hanya mampu memasang impian untuk memiliki kediaman sendiri supaya isteri, Suria Md Ariffin, 39 dan tiga anak mereka dapat hidup lebih selesa.

Namun, impiannya menjadi kenyataan apabila Barisan Nasional (BN) menawarkan sebuah unit rumah berkembar satu tingkat berkeluasan 65 meter persegi di Perumahan Nelayan Muafakat, Tanjung Dawai.

Tambah manis apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mencetuskan idea projek penempatan semula nelayan itu, mengunjungi kediamannya pada Majlis Perasmian Perumahan Nelayan Muafakat Kedah, hari ini.

Yusri berkata, kekangan kewangan menyukarkan usahanya untuk memiliki rumah sendiri.

"Selama 20 tahun, kami tinggal di sebuah rumah sewa tanpa bilik di sebuah kampung berhampiran dengan sewa RM200 sebulan.

"Dengan pendapatan bulanan saya sebagai nelayan antara RM1,000 hingga RM1,200, sukar untuk pihak bank meluluskan permohonan pinjaman perumahan bagi saya.

"Namun Alhamdulilah, apabila diberitahu oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengenai projek perumahan ini , saya pun memohon dan tidak sangka permohonan saya berjaya," katanya ketika ditemui di kediaman baharunya.

Kediaman baharu itu, katanya, memberi keselesaan buat mereka sekeluarga, terutama anak yang berusia antara empat tahun dan 11 tahun serta ibu mentua, Haliah Abu Bakar, 56.

"Kunjungan Perdana Menteri menyerikan lagi suasana rumah kami. Saya berharap inisiatif ini dapat dieruskan kepada nelayan di seluruh negara ini supaya mereka tidak ketinggalan dalam menikmati pembangunan kerajaan ini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ausri Awang, 55, berkata, projek perumahan itu memberikan keselesaan buat beliau dan suami, Abdul Rashid Arifin, 53 serta lima anak yang berusia antara 13 tahun dan 22 tahun.

"Sebelum ini, kami menyewa rumah satu bilik dengan harga RM150 sebulan.

"Saya sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Kerajaan Pusat dan LKIMkerana akhirnya kami mempunyai kediaman sendiri yang lebih selesa dan lebih luas," katanya.

Perumahan Nelayan Muafakat Kedah, Tanjung Dawai adalah projek perintis Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN).

Sebanyak RM48 juta diperuntukkan untuk projek itu, yang memberi manfaat kepada 300 keluarga.

Projek perumahan itu sudah mula diduduki sejak awal tahun ini dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan serba guna, surau, tadika, gelanggang futsal, taman permainan, rumah kedai, selain pencawang elektrik, rumah pam dan tangki air.

Sumber: BH Online