Tiada Lagi Tolak Ansur, Tunda Saja!


TAHUN ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi tumpuan untuk mengambil tindakan tegas ke atas pesalah atau pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana meletakkan kenderaan di bahu jalan, kawasan dilarang parkir atau kawasan yang tidak dibenarkan.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, selain daripada saman, tindakan penundaan dan nilai kompaun maksimum ke atas pemilik kenderaan akan dilaksanakan pada bulan Mac.

“Tindakan ‘towing’ akan dilaksanakan dan peringkat ini telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“Diingatkan agar pemilik kenderaan tidak meninggalkan kenderaan mereka sesuka hati bagi mengelakkan kenderaan mereka ditunda,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang menggunakan laluan ke lapangan terbang supaya mematuhi peraturan yang diarahkan. Sekiranya kerjasama ini diberikan, kelancaran trafik tidak memberi masalah dan memperlihatkan imej baik negara terutama terhadap orang luar negara yang masuk ke Malaysia.

Katanya, pihak MAHB ada menyediakan tempat parkir khas untuk menunggu, jika mereka menggunakan kemudahan itu, ia tidak menjadi masalah.

“Ini harus sentiasa diambil berat oleh semua orang, kerana setiap hari yang hadir ke lapangan terbang adalah sentiasa berubah-ubah, bukan orang yang sama.

“Dinasihatkan supaya mereka patuhi peraturan jalan raya dan arahan papan tanda yang telah dipamerkan. Sekiranya semua patuhi undang-undang dan peraturan ini, masalah tidak akan timbul,” katanya.

Sumber: Sinar