Datuk Seri Najib Razak, berkata masa depan negara bukan terletak di tangan bekas pemimpin yang sudah lanjut usia tetapi kerajaan yang sedia ada sekarang.
Perdana Menteri berkata, mengikut logik akal, tiada negara dalam dunia yang akan memilih orang berusia 93 tahun sebagai ketua kerajaan.
"Ada tak? (negara yang pilih orang lanjut usia sebagai ketua kerajaan). Tidak ada, takkan kita nak jadi yang pertama di dunia (lantik orang berusia 93 tahun jadi ketua kerajaan)...kita ada pilihan.
"Kita fikir masa depan Malaysia, masa depan Malaysia bukan di tangan orang yang berusia 93 tahun tetapi masa depan Malaysia adalah di tangan kerajaan yang ada pada hari ini, insyaAllah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 5,000 penjawat awam negeri Perak pada majlis Program Bajet 2018 Bersama Rakyat: Penjawat Awam, di Dewan Seri Perdana, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di Tanjung Rambutan, Perak semalam..
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan.
Najib berkata, lebih membimbangkan apabila mereka yang berada di belakang pemimpin berusia 93 tahun itu adalah ahli politik yang tidak senang dan menghina golongan penjawat awam.
Justeru, katanya, penjawat awam tidak seharusnya berdiam diri dan tidak wajar memilih mereka yang sebelum ini menghina perkhidmatan serta jawatan mereka untuk mengepalai kerajaan pada masa depan.
Najib juga membidas pembangkang yang menuduh beliau sebagai zalim kerana sepanjang pemerintahannya tidak pernah menahan ahli politik tanpa dibicarakan di mahkamah berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
"Ada pembangkang kata saya zalim, sejak bila saya zalim? Siapa yang tangkap orang di bawah Operasi Lalang (mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987), Najib ke atau orang itu yang berusia 93 tahun.
"Ada yang diISAkan, MB (Menteri Besar Perak) sendiri (yang ditahan mengikut ISA pada tahun 1998) beritahu saya betapa azabnya di bawah ISA, tidak tahu siang atau malam, sampai hari ini dia tidak tahu kenapa dia diISAkan, beratus orang sudah diISAkan.
"Tetapi macam biasalah, bukan salah dia (dakwaan Dr Mahathir) tapi salah polis. (Tragedi) Memali pun salah (Tun) Musa (Hitam), (penahanan) (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) (pada 1998) pun salah polis, semua bukan salah dia, salah orang lain.
"Inilah senario (politik) di dalam Malaysia," katanya.
Sumber: BH-