Tindakan Guan Eng Ajar Budak Pasal Politik, Tak Bertamadun


TEMERLOH – Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyanyikan lagu ABC yang didakwa menyindir kerajaan dan membawa mesej politik disifatkan sebagai tidak wajar dan tidak bertamadun.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan seorang dewasa yang dianggap sebagai cerdik pandai kepada golongan kanak-kanak.

“Sepatutnya kanak-kanak tidak dilibatkan dalam pertelingkahan politik khususnya pada usia kita perlu mengajar mereka nilai murni hormat-menghormati dan saling menyayangi.

“Kita tidak boleh bertoleransi dengan tindakan ini… ini melihatkan tahap sebenar pemikiran mereka dan harap rakyat matang dalam menilai perbuatan mereka,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Sharkar ditemui pada majlis pelancaran Tuisyen Rakyat@KKLW di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar di sini hari ini, yang dirasmikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mengulas laporan akhbar baru-baru ini yang mendakwa Lim mengajar lagu ABC kepada sekumpulan kanak-kanak dengan lirik yang menghina kerajaan dengan menyebut GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

Laporan itu menyebut Lim yang juga Setiausaha Agung DAP membawa sendiri cakera padat (CD) pada program yang didakwa dilakukan pada majlis perasmian pusat tuisyen di Pulau Pinang.

Sementara itu, Ismail Sabri pula mempersoalkan sama ada pembangkang begitu terdesak sehingga perlu memasukkan elemen politik ke dalam program pembelajaran kanak-kanak tadika.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah berkelakuan sebegitu meskipun di bawah kementerian beliau terdapat lebih 11,000 tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

“Jika kita berpolitik, jangan libatkan kanak-kanak. Mereka ini masih terlalu muda untuk dilibatkan dalam perbalahan atau caci maki politik.

“Tadika adalah tempat untuk kita menerapkan nilai murni dalam diri kanak-kanak,” katanya. – Bernama