TMJ Akhirnya Lepas Jawatan Presiden FAM


RASMI… Selepas genap setahun, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sah melepaskan jawatan baginda sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebentar tadi.

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut menunjukkan surat peletakan jawatannya pada sidang media selepas Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) di Johor Bahru.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang percaya kepada saya, penaja dan pasukan yang bertanding. Ini adalah surat peletakan jawatan saya sebagai Presiden FAM,” titah TMJ secara ringkas.

Baginda pernah dua kali menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada menerajui badan induk itu menerusi catatan dalam laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada 3 Januari dan terbaharu, 15 Mac.

TMJ dilantik mengambil alih jawatan berkenaan daripada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Kongres ke-53 FAM di Hotel Hilton Petaling Jaya, Selangor pada 25 Mac tahun lepas. - Kedahnews.com