TMJ Rasa Perlu Letak Jawatan Presiden FAM


SEDIA… Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi meluahkan hasrat untuk letak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berikutan kejatuhan ranking skuad Harimau Malaya ke tangga 178 dunia.

Menerusi kenyataan rasmi pada laman web rasmi di Facebook FAM, Tunku Ismail bertitah bahawa penurunan tiga anak tangga itu, merupakan satu ‘kegagalan yang amat besar’, selepas mengambil pelbagai inisiatif untuk membantu badan induk bola sepak negara tersebut.

“Oleh itu, saya rasa Presiden FAM harus letak jawatan. Terima kasih untuk segala-galanya dan ia telah menjadi satu penghormatan untuk berkhidmat kepada bola sepak Malaysia. Selamat maju jaya.

“Kepada seluruh Bangsa Johor yang saya sayangi dan penyokong kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di seluruh dunia serta isteri dan anak-anak saya… Daddy’s home!” titahnya menerusi kenyataan yang turut dimuat naik dalam Facebook rasmi JDT, Johor Souther Tigers, malam semalam.

Mengikut ranking terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) hari ini, skuad Harimau Malaya turun tiga anak tangga daripada kedudukan ke-175, yang dihuni sejak dua bulan lalu.

Tunku Ismail secara rasminya dilantik selaku Presiden FAM bagi penggal 2017-2021 ketika Kongres Tahunan FAM, di ibu negara pada 25 Mac tahun lalu.

Menurut kenyataan itu, antara inisiatif yang dilakukannya ialah memperbetulkan struktur bola sepak negara, menarik lebih banyak penaja untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan dan merangka pelan jangka panjang untuk pembangunan bola sepak negara.

Berikut adalah titah kenyataan penuh Tunku Ismail:

Sepanjang saya menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya telah memperbetulkan struktur bola sepak tanah air, menarik para penaja untuk menyumbang kepada bola sepak negara dan menyediakan pelan jangka panjang untuk bola sepak negara seperti melakukan kerjasama bersama La Liga.

Saya juga telah memperjuangkan hak penyiaran untuk kesemua pasukan bertanding di Liga Malaysia bagi meningkatkan kestabilan kewangan. Ini adalah satu sejarah dalam bola sepak tanah air apabila buat pertama kalinya setiap pasukan bertanding telah menerima sebanyak RM1 juta hingga RM3 juta setahun untuk wang hak penyiaran di mana setiap pasukan tidak lagi menggunakan duit rakyat daripada kerajaan.

Dalam pada itu, skuad Bawah (B) -23, B-19 dan B-16 telah berjaya melakar sejarah buat pertama kalinya mewakili negara dalam pertandingan peringkat tertinggi di Asia.

Baru-baru ini ranking pasukan kebangsaan telah jatuh tiga anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar! Oleh itu, saya rasa Presiden FAM harus letak jawatan. Terima kasih untuk segala galanya dan ia telah menjadi satu penghormatan untuk berkhidmat kepada bola sepak Malaysia. Selamat maju jaya.

Kepada seluruh Bangsa Johor yang saya sayangi dan juga kepada para penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di seluruh dunia serta isteri dan anak-anak saya… Daddy’s home! – BERNAMA