Tokan Antara 6 Individu Ditahan AADK Di Padang Terap


ALOR SETAR – Seorang tokan dadah adalah antara enam individu yang ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan di tiga kampung berasingan di sekitar daerah Padang Terap di sini, semalam.

Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Padang Terap Zainal Abidin Ismail berkata tokan dadah yang berumur 26 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Nambua hasil maklumat dan risikan yang telah dijalankan.

“Tokan terbabit berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri ke dalam kawasan semak berdekatan rumah tersebut bersama tiga lagi individu lain dan hasil pemeriksaan ke atas tokan juga menemukan 17 plastik lutsinar mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 9.33 gram.

“Tokan terbabit telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk siasatan di bawah Akta Dadah Merbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, tiga individu yang ditahan bersama tokan terbabit dan dua lagi individu yang ditahan di Kampung Musa berumur antara 22 hingga 30 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983.

Katanya operasi yang bermula 11 malam dan tamat pada 2.30 pagi tadi membabitkan lapan anggota AADK bertujuan membanteras penagih dadah. – BERNAMA