Tragedi Kapal Korek: Mangsa Dari Kedah Sempat Buat Live FB


ALOR SETAR - Mangsa berasal dari Kedah dalam tragedi kapal korek pasir yang terbalik,  Mohd Akashah Azizan, 25, yang dilaporkan terperangkap dikatakan sempat membuat ‘Live’ di Facebook beberapa hari sebelum kejadian.

Video berdurasi seminit 25 saat itu dikongsikan oleh mangsa ketika dalam perjalanan dari Tuas, Singapura menghala ke perairan dengan berlatar belakangkan pemandangan dari atas kapal yang dinaikinya pada 17 Mac lalu.

Sepupu mangsa, Arzizul Abdul Rahman, 35, ketika ditemui berkata, perkongsian mangsa di laman sosial itu juga menjadi detik terakhir mereka berhubung antara satu sama lain.

“Saya terima maklumat mengenai sepupu hari ini kira-kira jam 10 pagi melalui aplikasi WhatsApp yang dikongsi ahli keluarga.

“Saya  memang terkejut tapi setakat ini kami hanya mengharapkan yang baik-baik, tambahan pula hanya dia pula satu-satunya rakyat tempatan berbangsa Melayu,” katanya.

Dirinya dikatakan sangat erat dengan Mohd Akashah yang mesra disapa Acha kerana sering meminta nasihat dan tunjuk ajar mengenai cara kerja dalam bidang perkapalan.

“Dulu saya pernah bekerja dengan syarikat perkapalan di bawah Petronas dan  Acha memang banyak rujuk pada saya berkaitan kerja di dek kapal.

“Kalau diizinkan, memang kami sekeluarga mahu bertemu dengan Acha dalam keadaan selamat. Namun, kami juga tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan dan reda walau apa pun berlaku,” katanya.

Tambah Arzizul, Mohd Akashah telah melibatkan diri dalam dunia perkapalan sejak hampir tiga tahun dan pernah melalui pengalaman buruk apabila tinggal di atas kapal tanpa bekalan elektrik.

“Kalau ikutkan pengalaman buruk Acha sepanjang bertugas sebagai krew kapal adalah pada 2016 apabila dia yang bekerja dengan syarikat kapal lain sebelum ini ditinggalkan di tengah perairan di Pontian selama beberapa bulan tanpa bekalan elektrik.

“Mujur ada petugas penyelamat memberikan bantuan dan kesemua mereka berjaya diselamatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Arzizul berkata, ibu mangsa yang menetap di Changlun, Kedah kini dalam perjalanan. - Kedahnews.com