Tudung Bawal Logo Parti Politik Laris Dijual


PASIR MAS: Tudung bawal manik berlogokan parti yang dijangka bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) terus mendapat sambutan menggalakkan daripada parti bertanding sejak ia tular di media sosial baru-baru ini.

Tudung bawal yang dikeluarkan khas oleh Syarikat De'Suria Collection, mula mendapat tempahan dan dijual laris bagai pisang goreng panas sejak minggu lalu.

Pengusahanya Marhaini Suriana Ayub, 30, berkata tudung yang dikeluarkan oleh syarikatnya mendapat perhatian ramai selepas gambar tudung itu dipaparkan dalam Facebook milik syarikatnya.

Ibu kepada dua anak itu berkata, antara parti politik yang membuat tempahan termasuk dari Barisan Nasional (BN), PAS, Parti Amanah Negara (PAN), PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Idea untuk mengeluarkan tudung bawal berlogokan parti politik timbul selepas memikirkan pilihan raya hampir tiba.


"Saya inginkan satu kelainan dari segi produk yang dikeluarkan walaupun syarikat saya bukan lah besar berbanding syarikat tudung jenama lain dan saya bersyukur tuudng yang dikeluarkan mendapat sambutan menggalakkan," katanya ketika ditemui di Tal Tujuh di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas tular di media sosial,dia mendapat tempahan antara 500 hingga 1,000 sehari untuk tudung bawal berlogokan parti politik itu.

"Dengan bantuan empat kakitangan, kami berjaya menyiapkan tudung itu antara tiga hingga lima hari dan kami akan cuba siapkan tempahan dalam masa dijanjikan supaya pelanggan berpuas hati.

"Kami jangkakan mendapat lebih banyak tempahan akan datang kerana PRU-14 hampir tiba," katanya

Marhaini yang mula berjinak dalam bidang penjualan tudung bawal kira-kira empat tahun yang lalu, berkata setiap tudung itu dijual antara RM25 hingga RM30 sehelai bergantung pada saiz kain.

Sumber: BH