JOHOR BAHRU - Gambar polis trafik memegang kamera perangkap had laju yang diletakkan di lebuh raya yang tular di media sosial adalah gambar lama.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd ketika mengesahkan perkara itu berkata, langkah penguatkuasaan itu pernah digunakan polis trafik.
Bagaimanapun, katanya, kali terakhir ia digunakan adalah 15 tahun lalu.
“Saya sudah mendapatkan maklum balas trafik Bukit Aman dan peronda lebuh raya yang mengesahkan gambar tular itu adalah gambar lama,” katanya di sini, semalam.
Sebelum ini, gambar polis trafik memegang kamera perangkap had laju menjadi tular selepas dimuat naik di laman sosial Facebook (FB).
Ia menunjukkan gambar anggota polis trafik lengkap berpakaian seragam dan memegang kamera perangkap had laju.
Ia dikatakan diletakkan di pembahagi jalan berhampiran jambatan kononnya bagi menakutkan pengguna jalan raya yang memandu laju.
Gambar itu menerima banyak komen dan menganggapnya cara pasukan keselamatan untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan.
Sumber: MyMetro