Tular Video Aksi Bapa, Anak Terjun Jambatan


KUALA KUBU BHARU – Video aksi seorang bapa bersama anak lelaki berusia tiga tahun melakukan terjunan berhayun di jambatan dekat Kampung Orang Asli Pertak yang tular di laman sosial mendapat pelbagai reaksi masyarakat.

Turut viral video aksi peserta negara yang pernah menyertai sukan televisyen, Ninja Warrior iaitu Mohd Redha Rozlan atau lebih dikenali sebagai Mat Redho apabila melakukan terjunan bersama anak perempuannya, kelmarin.

Sebilangan masyarakat mengagumi keberanian pasangan bapa dan anak itu namun tidak kurang juga yang memberi maklum balas negatif termasuk menyifatkan ia satu tindakan berbahaya.

Sementara itu, operator aktiviti tersebut dari sebuah syarikat pengurusan sukan lasak, Mohd Shafiq Azmi berkata, terjunan berhayun yang dijalankan sejak setahun lalu di jambatan terbabit mengutamakan aspek keselamatan.

Menurutnya, peralatan dan kelengkapan diperiksa oleh kakitangan terlibat sebelum seseorang itu melakukan terjunan.pada ketinggian 60 meter, lapor Sinar

“Saya faham ada yang mempertikaikan aspek keselamatan memandangkan aktiviti ini merupakan yang pertama kali diadakan di Malaysia.

“Kami mematuhi aspek keselamatan terutama peralatan seperti tali dengan menggunakan khidmat syarikat yang berkelayakan dalam bidang ini.

“Saya mengalu-alukan kehadiran masyarakat ke sini bagi menyaksikan sendiri bagaimana aktiviti ini dilakukan dan sekiranya meragui, kami sedia menerima pandangan,”katanya.

Mohd Shafiq berkata, dia merupakan individu pertama melakukan terjunan sebelum operasi aktiviti itu dibuka kepada orang ramai yang kini sudah disertai lebih 200 penerjun.

Sumber: Suara TV