Tunku Temenggong Kedah Sampaikan Bantuan Kepada Mangsa Ribut


ALOR SETAR - Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah semalam berkenan menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut di beberapa kampung di sekitar daerah Yan yang rosak teruk akibat dilanda ribut pada 7 Mac lepas.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang itu telah menyebabkan lebih 50 rumah di Kampung Haji Lateh, Kampung Gelam 3, Kampung Batu 11, Kampung Batu 16 dan Kampung Batu 18 mengalami kerosakan teruk.

Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) berkenan menyampaikan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada 55 penerima sumbangan itu di Surau Kampung Haji Lateh dekat sini.

Turut hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom merangkap Anggota Parlimen Jerai serta barisan Anggota Lembaga YSB.

Sementara itu, bagi seorang penerima Mohamad Aswad Zainol, 29, dari Kampung Batu 11 berkata dia gembira menerima sumbangan itu kerana sedikit sebanyak dapat membantunya menampung kos membaiki bumbung rumahnya yang diterbangkan angin pada hari kejadian.

"Ini dapat ringankan beban untuk saya baiki rumah. Sebelum ini, sebahagian bumbung yang rosak telah dibaiki dan dengan sumbangan wang tunai yang diterima hari ini dapat saya baiki bumbung rumah sepenuhnya," katanya memetik Bernama.

Selain itu, Eshah Itam, 78, dari Kampung Batu 16 pula berkata bantuan wang tunai yang diterima itu akan digunakan bagi membaiki bahagian atap rumahnya yang telah didiami lebih 50 tahun itu.- Kedahnews.com