SEPASANG kekasih di Aceh, Indonesia bukan sahaja kantoi ditangkap khalwat, malah turut diaibkan oleh penduduk setempat dengan cara yang begitu memalukan.
Insiden mengejutkan itu dipercayai berlaku di sebuah perkampungan di daerah Ingin Jaya, Aceh Besar, pada Isnin lalu.
Menurut sumber, kedua-duanya remaja berusia sekitar 20-an itu dikatakan sering berdua-dua di sebuah rumah sehinggalah perbuatan mereka akhirnya dihidu dan ditangkap penduduk kampung.
Menerusi rakaman video yang kini giat diperkongsikan netizen, kedua-duanya dilihat tertunduk malu dan hanya menjawab pertanyaan ketika disoal oleh beberapa individu.
Sambil disaksikan oleh orang ramai, pasangan itu kemudiannya diminta untuk bertaubat atau insaf selepas mengakui kesalahan perbuatan mereka.
Namun tidak semena-mena, pasangan itu menerima satu ‘kejutan’ tidak disangka apabila secara tiba-tiba mereka disimbah dengan air longkang berwarna hitam oleh seorang lelaki.
Air kotoran yang berbau itu dilihat begitu pekat sehingga mengakibatkan pakaian mereka turut berubah kehitaman.
Selepas ‘dimandikan’, pemuda itu kemudian diminta untuk bernikah dengan pasangannya sebagai salah satu cara untuk menamatkan perbuatan maksiat mereka.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada pasangan tersebut dikahwinkan atau perbuatan mereka dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Sementara itu netizen di media sosial menyifatkan hukuman yang diberikan oleh penduduk kampung adalah begitu keterlaluan biarpun niat asal mereka hanyalah untuk memberikan pengajaran. –Kedahnews.com