Video: Lelaki Amuk ‘Belasah’ Isteri Guna Parang


RAKAMAN video memaparkan aksi lelaki bertindak kasar terhadap seorang wanita dipercayai isterinya menjadi tular menerusi media sosial semalam.

Kejadian yang dipercayai berlaku di Taman Perindustrian, Klang, Selangor itu memaparkan wanita tersebut dikasari dengan teruk malah ditumbuk secara bertubi-tubi oleh lelaki tersebut.

Menerusi klip video tersebut, kemudian muncul seorang lelaki lain yang dipercayai rakan kepada suspek sambil memegang sebilah parang dan membuka pintu kereta.

Wanita berkenaan pada awalnya cuba melawan namun suspek bertindak kasar dengan menarik rambut dan memukul mangsa menggunakan sebilah parang.

“Tolong…. Tolong….,” jerit mangsa yang didapati dalam kesakitan itu.

Selepas itu, mangsa yang terbaring di atas jalan tar kemudiannya ditarik dan diseret masuk ke kereta oleh suspek dengan bantuan rakannya tadi.

Tidak lama kemudian, mereka beredar daripada tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Satria yang berwarna biru dan bernombor pendaftaran BFV 8384.


Memetik sumber, difahamkan punca kejadian berkenaan adalah berikutan salah faham yang berlaku antara pasangan suami dan isteri tersebut.

Malah, sumber berkata lagi laporan berhubung kes itu telah dibuat oleh anak kepada pasangan itu sendiri dan segala bukti rakaman adalah dirakam oleh orang ramai yang berada di kawasan kejadian.

Sehingga kini, rakaman yang menerima lebih daripada 9,000 tontonan itu terus menjadi perhatian dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen tempatan tidak kira sama ada yang berbentuk positif mahupun negatif. –Kedahnews.com