SATU video memaparkan rakaman sebuah kereta jenis Mercedes dilihat memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan kecil menjadi tular di laman sosial.
Menerusi video yang dikongsikan menerusi Facebook itu, jelas menunjukkan pemandu kereta mewah bernombor pendaftaran ND168 tersebut dengan sengaja memandu secara melawan arus dan enggan ‘mengalah’ meskipun dinasihatkan untuk berundur.
Memetik sumber, difahamkan jalan tersebut merupakan laluan sehala namun pemandu ‘gila’ tersebut tetap berdegil terus bergerak ke hadapan dan sengaja menyalakan lampu beam tinggi beberapa kali untuk memaksa pemandu kereta Perodua Bezza di hadapannya berundur.
Pemandu Bezza berkenaan gagal berbuat demikian berikutan di belakangnya terdapat banyak kereta dan mereka berada di laluan yang betul.
Pemandu kereta mewah tersebut yang bengang dengan keadaan itu kemudiannya bertindak lebih melampau dengan melanggar kereta Bezza berkenaan sebanyak dua kali hingga menyebabkan berlakunya kerosakan pada bumper bahagian depan.
Orang ramai yang berada di tempat kejadian meminta agar pemandu Bezza itu tidak tunduk kepada tindakan melampau pemandu Mercedes berkenaan dan menasihatkannya membuat laporan polis berhubung kes itu.
Sementara itu, pemandu Bezza tersebut yang dikenali sebagai Insanull Adam dalam satu kenyataan berkata kejadian itu berlaku pada jam 10.57 malam dan laporan polis telah dibuat.
Sehingga kini, video berkenaan dilihat terus menjadi tular dan mendapat perhatian dalam kalangan netizen di seluruh Malaysia. – Kedahnews.com