Video: Pengawal ‘Gila’ Tumbuk, Pijak Dada Lelaki OKU


PERBUATAN tidak berhati perut seorang pengawal keselamatan yang bertindak membelasah seorang individu secara bertubi-tubi di luar sebuah premis kini menjadi bualan netizen.

Dalam kejadian di sebuah pasar raya di Tumpat, Kelantan pada Isnin lalu itu, pengawal keselamatan berusia 26 tahun tersebut dilihat menumbuk muka individu terbabit secara kuat sehingga mangsa dilihat rebah ke lantai.

Tidak terhenti di situ sahaja, malah pengawal berkenaan turut menendang dan memijak dada individu berumur 42 tahun tersebut sebelum mangsa dilihat seperti tidak sedarkan diri dalam kejadian pukul 6.24 petang kemarin.

Tidak lama kemudian, pengawal tersebut dilihat mengheret kembali individu yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) tersebut dengan menarik kemeja mangsa sebelum berpura-pura seolah-olah ingin membantu pula.

Tindakan pengawal keselamatan premis perniagaan popular tersebut telah mengundang kemarahan ramai netizen sekali gus teruk dikritik kerana ia dianggap melampau.

Rata-rata netizen mengecam dan menyelar tindakan pengawal keselamatan terbabit kerana dilihat amat kurang ajar dan langsung tidak berhati perut membuli seorang OKU.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada perselisihan faham antara dua lelaki berkenaan.

“Insiden itu berlaku pada Isnin lalu namun klip video rakaman kamera litar tertutup ini tular di media sosial bermula hari ini. Suspek sudah direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya ketika dihubungi media.- Kedahnews.com