SEREMBAN - Mohd Haikal Mohd Hanafi, 12, seorang yang aktif dan berbakat dalam bola sepak sehingga dipilih sebagai penjaga gol nombor satu Rembau bagi kategori umur bawah 12 tahun.
Sayangnya, hari ini, Mohd Haikal, pemain bola sepak bawah 12 tahun Negeri Sembilan, yang juga pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi Negeri Sembilan hanya terlantar selepas menghidap penyanyi yang tidak diketahui puncanya.
Ibunya, Siti Nurhidayah Nordin, 31 berkata, keadaan kesihatan anak sulung daripada empat beradik itu terganggu sebaik menamatkan penyertaan dalam kejohanan bola sepak empat penjuru yang diadakan di Alor Setar Kedah, pada 10 Mac lalu.
Dalam kejohanan itu, Mohd Haikal yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Sepri Rembau mewakili kelabnya, R&W Rembau Wanted FC.
"Ketika perlawanan itu, dikatakan berlaku kekasaran dengan pemain lawan menyebabkan Mohd Haikal cedera di belakang badan ketika dia ingin menyelamatkan gawangnya bolosi.
"Kembali ke Rembau, Haikal memberitahu tangan kirinya tiba-tiba menjadi lemah dan saya bersama suami (Mohd Hanafi Sidek, 32) terus membawanya ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Tampin pada Jumaat lalu, selepas mendapati kesihatannya tidak berubah.
"Saya kemudiannya membawa dia ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) pada malam Ahad, selepas mendapati suhu badannya terlalu panas selain hilang selera makan dan kurang bercakap," katanya ketika ditemui di HTJ, di sini, semalam.
Berita Mohd Haikal turut menjadi viral di laman sosial Facebook sejak Ahad lalu.
Siti Nurhidayah berkata, pihaknya diberitahu oleh doktor terdapat jangkitan kuman dalam badan anaknya itu selain ada masalah pada jantung.
Suri rumah itu berkata, dia terkejut dengan maklumat yang disampaikan doktor kerana Mohd Haikal tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan sejak lahir.
"Saya terkejut dan sedih apabila diberitahu ada masalah jantung sedangkan dia seorang yang aktif dan cergas dan sebelum ini pun tidak pernah ada masalah kesihatan, malah doktor mengatakan penyakit yang dihidapi Mohd Haikal adalah kes pertama," katanya.
Menurutnya, pihaknya meminta orang ramai supaya mendoakan anaknya itu sembuh dan kembali sihat kerana dia bercita-cita tinggi untuk menjadi pemain bola sepak negara.
"Mohd Haikal bukan saja mewakili sekolah tetapi daerah dan negeri termasuk di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
"Dia bercita-cita untuk masuk Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang Pahang, malah namanya antara calon yang disenaraikan oleh jurulatih dalam pemilihan ke akademi itu akan datang," katanya.
Dalam pada itu, Siti Nurhidayah menafikan maklumat dalam laman sosial berkenaan yang mengatakan pentadbir sekolah dan jurulatih kelabnya tidak mengambil tahu keadaan Mohd Haikal.
"Maklumat dalam laman sosial itu kurang tepat, sekolahnya tidak terbabit dengan aktiviti kelab yang disertai Mohd Haikal, namun guru besar dan guru-gurunya sentiasa memberikan perhatian dan sokongan moral.
"Jurulatihnya pula sentiasa mengambil berat tentang keadaan kesihatan Mohd Haikal kerana mereka tahu dia pemain bola sepak yang berbakat," katanya.
Sumber: BH Online