Zahid Hamidi Sedia Undur Lebih Awal, Tak Mahu Ikut Macam Mahathir


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sedia berundur lebih awal daripada dunia politik dan tidak akan menuruti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih bernafsu untuk bertanding dalam pilihan raya pada umur 93 tahun.

Ahmad Zahid yang berusia 65 tahun berkata, dalam jangka masa panjang beliau sedia memberikan peluang kepada golongan muda untuk menerajui kepemimpinan negara termasuk di kawasan Parlimennya, Bagan Datuk, Perak.

"Saya tidak mahu bertanding lagi sehingga berusia 93 tahun. Cukup-cukuplah, beri peluang kepada anak-anak muda termasuk di Bagan Datuk sendiri.

"Saya tidak mahu menongkat langit," katanya pada majlis Aspirasi Transformasi Nasional (TN50) @Bagan Datuk yang diadakan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang , hari ini.

Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, berbekalkan keringat yang masih ada beliau akan terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara dan kawasan Bagan Datuk sekali pun sesuatu nikmat pembangunan itu hanya dirasai pada tahun 2050.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan sebelum ini menyifatkan dirinya sudah terlalu berusia untuk kembali menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun beliau bersedia untuk menjadi Perdana Menteri sementara  dan dicalonkan oleh Pakatan Harapan untuk kembali berkuasa jika pembangkang menang PRU14.

Malah Dr. Maharthir sendiri pernah berkata bahawa ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP Lim Kit Siang terlalu tua untuk menjadi Perdana Menteri.

Baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak menyatakan, tidak ada negara di dunia memilih pemimpin berusia 93 tahun bagi mengetuai kerajaan pada masa ini.

Hanya parti pembangkang di Malaysia sahaja yang masih memerlukan pemimpin tua seumpama untuk menerajui negara. -Kedahnews.com