Zain Sensitif Jika Ditegur Berisi - Che Ta


KUALA LUMPUR - Dikenali sebagai selebriti yang sentiasa menitikberatkan penampilan, Rozita Che Wan yang mesra disapa Che Ta juga mahu suaminya, Zain Saidin melakukan perkara yang sama.

Disebabkan itu, Che Ta sering menasihatkan suaminya supaya mengawal berat badan untuk memastikan susuk tubuhnya sentiasa sedap mata memandang.

Namun, akui ibu kepada tiga cahaya mata itu, Zain agak sensitif apabila ditegur mengenai perubahan pada berat badannya, malah akan berkecil hati jika perkara yang sama berulang kali dibangkitkan.

"Dulu, saya selalu juga menegur apabila melihat perubahan pada susuk tubuhnya. Tetapi, Zain agak sensitif dan akan berkecil hati jika saya memberitahu badannya semakin berisi. Lama-kelamaan, saya biarkan saja dan tidak kisah lagi.

"Zain pula sebaliknya kerana dia tidak pernah mempersoal perubahan pada diri saya. Sama ada saya berisi atau sebaliknya, Zain tidak merungut. Dia terima saya seadanya. Tidak tahulah apakah itu pujian atau sebaliknya," katanya berseloroh.

Seperti wanita lain, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu juga terpaksa berkorban untuk memastikan bentuk badannya terjaga. Memiliki ukuran pinggang 23 inci, Che Ta berkata, dia mempunyai cara tersendiri untuk mengekalkan bentuk tubuhnya.

"Ramai yang menyangka, saya tidak pernah berdepan masalah berat badan. Selepas melahirkan anak ketiga, Aaisyah Dhia Rana, berat saya naik mendadak. Ketika usia Aaisyah tiga bulan, berat saya mencecah 85 kilogram.

"Malu saya melihat badan sendiri ketika itu. Saya pula jenis suka makan dan tidak gemar bersenam. Saya lebih rela duduk di meja makan daripada bersusah payah melakukan senaman" katanya.

Che Ta berkata, dia tiada pantang larang apabila menyentuh mengenai pemakanan. Apa yang kena dengan tekaknya, pelakon yang terkenal menerusi drama Kiah Pekasam itu akan menjamah tanpa banyak soal.

"Tetapi, apabila berat badan mula naik, saya akan kurangkan nasi atau hanya mengambil buah. Bayangkan ketika mengandungkan Aaisyah, saya boleh makan nasi lima kali sehari. Macam badan saya tak naik?

"Untuk memastikan berat badan kekal, saya pastikan hanya ambil nasi dua kali sehari. Saya disiplinkan diri supaya makan tidak bertambah. Mungkin perut saya sudah terbiasa begitu, jadi saya tiada masalah.

"Cuma, ada ketika apabila Zain pulang ke rumah membawa makanan, saya akan jamah sedikit. Tak baik tolak rezeki depan mata," katanya.

Pelakon yang terkenal dengan watak Kiah Pekasam itu turut berkongsi rahsia mendapatkan bentuk tubuh idaman menerusi jus pelansing, QurusCheta yang baru diperkenalkannya. Che Ta berkata, pengambilan jus itu membantu mereka yang sentiasa resah untuk mengawal berat badan.

Sumber: BH Online