SEREMBAN: Kira-kira 100 bendera Barisan Nasional (BN) yang dipasang di depan pintu masuk Kampung Baru Mambau dan sekitar pekan Mambau, di sini, didakwa dibakar dan ditanggalkan pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua Penerangan MCA Negeri Sembilan, Dafney Ho berkata pihaknya kesal dengan tindakan berkenaan dan insiden itu pertama kali berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambau.
Katanya, bendera yang dipasang sejak 3 hari lalu dengan anggaran RM300 itu hanya disedari dibakar dan ditanggalkan pagi semalam.
“Ini persaingan yang tidak sihat…pelik kenapa bendera BN sahaja hilang, bendera lain tidak. Sekiranya pihak saya ada buat kesalahan, boleh tegur apa yang tidak betul, jangan buat macam ini (bakar dan tanggalkan bendera),” katanya dalam sidang media semalam.
Susulan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Mambau supaya siasatan dapat dijalankan dan tindakan segera diambil ke atas individu terbabit.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi bersesuaian bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
“Kita akan pasang CCTV untuk elak perkara sama, selain untuk menjaga keselamatan jentera parti yang akan bertugas sempena PRU14 (pilihan raya umum ke-14) nanti,” katanya.
Sumber: FMT