SUBANG - Majlis Amanah Rakyat (MARA) diberi jaminan akan terus wujud, selagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) diberi mandat kepercayaan menerajui negara ini, kata Datuk Seri Najib Razak.
Ketika menyuarakan janji itu, Perdana Menteri berkata, gerakan untuk melihat MARA dan beberapa agensi berteraskan kepentingan agenda Bumiputera serta orang Melayu di negara ini 'terkubur' tidak akan menjadi kenyataan.
"Kerajaan akan terus pastikan MARA berkembang sebagai sebuah institusi kebanggaan Bumiputera berdasarkan empat sebab.
"Pertama, agensi ini sebati dengan saya kerana diasaskan ayahanda, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, justeru kesinambungannya akan terus terjamin.
"Kewujudan MARA ada kaitan rapat dengan Perlembagaan UMNO, yang antara fasalnya mencakupi tekad memperjuangkan sosio-ekonomi Bumiputera dan Melayu.
"MARA adalah wahana terbaik dalam memperkasa agenda ekonomi Bumiputera, selain berperanan sebagai asas keutuhan politik UMNO dan BN," katanya ketika menghadiri Himpunan Anak MARA di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini, semalam.
Najib yang tiba pada jam 5.50 petang, turut meluangkan masa menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail bagi memperkukuh kerjasama pembangunan modal insan dan pembabitan industri aeroangkasa.
Majlis anjuran Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Kebangsaan (MUAFAKAT) bertemakan Menggenggam Langit Biru itu dihadiri lebih 5,000 orang yang antaranya terdiri daripada usahawan, pendidik, ibu bapa dan pelajar tajaan agensi berkenaan.
Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar; Pengerusi MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin; Pengerusi UniKL, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Presiden MUAFAKAT, Datuk Rizal Mansor.
Najib yang juga Pengerusi BN, berkata modus pembangkang sebaliknya menyaksikan sisi berbeza kerana ingin melihat mana-mana institusi berteraskan kepentingan memperkasa agenda Bumiputera dan bercanggah dengan konsep 'Malaysian Malaysia' menemui titik noktah.
Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu pastikan momokan dan gerakan pembangkang kononnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal dibadai tsunami orang Melayu tidak berlaku.
"Letakkan kepercayaan kepada UMNO dan BN kerana ia satu-satunya parti politik yang boleh menjamin masa depan serta kelangsungan generasi anak cucu kita.
"Usah dengar pihak sana (pembangkang) kerana mereka akan cuba salahkan kerajaan dan Perdana Menteri dalam apa jua hal, waima isu kedai roti lingkup sekali pun.
"Cukup-cukuplah... Memali, rugi RM3.1 bilion, Maminco, MAS (Malaysia Airlines System), PROTON dan terbaharu kedai roti pun salah orang lain.
"Hentikan politik seperti ini dan beri keyakinan kepada BN dan UMNO untuk kita letakkan Malaysia tercinta sebaris negara terkemuka di dunia," katanya sambil disahut gemaan sorakan hadirin yang memenuhi hangar MIAT UniKL.
Sumber: BH Online