NAMA penyanyi rap Caprice mungkin tidak asing lagi bagi kebanyakan anak muda tempatan yang meminati genre muzik rap dan pengikut setianya di laman Instagram.
Sebelum ini, pernah timbul beberapa isu konon pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu bagaikan seorang pembuli siber apabila dia mula memuat naik banyak video tentang pandangan peribadinya mengenai isu yang sedang tular di media sosial.
“Orang kalau tak faham Bahasa Inggeris mungkin tak faham apa yang saya nak sampaikan. Saya selalu cakap tentang anti buli supaya semua orang sedar tentang perkara ni. Saya buat video pun berdasarkan apa yang sedang diperkatakan oleh kebanyakan media hiburan.
“Bila saya mula buat video, perlahan demi perlahan, ada pengikut saya bagitahu yang dia dah berubah. Buli siber ni bahaya sebab ada saja orang mati akibat tekanan dibuli secara dalam talian,” katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran kempen Akhiri Buli Siber & Penyebaran Maklumat Palsu pada pagi semalam.
Dalam masa yang sama, sekitar lima tahun lalu, penyanyi berusia 30 tahun itu sudah menjalankan kempen Anti Buli menerusi lagunya berjudul Wat Lek Wat Peace.
Disebabkan itu, apabila Neelofa mengajak penyanyi lagu Abang Gurau Je itu bekerjasama bagi menjayakan kempen berkenaan, dia terus bersetuju kerana selama ini, sememangnya perkara itu yang dimahukannya.
“Dah lima tahun saya perjuangkan kempen ni, saya dijemput ke beberapa sekolah untuk ceritakan tentang isu buli siber dan beri nasihat berguna kepada mereka tentang cara untuk tangani gejala tak sihat ini.
“Bertambah semangat bila ramai selebriti lain yang ada sekali dan ia buatkan saya lebih seronok untuk sama-sama hentikan gejala buli siber,” tambahnya.
Baginya, masyarakat masa kini perlu didedahkan dengan perkara positif dan semua video yang dibuatnya bertujuan untuk menyedarkan masyarakat sekeliling.
Masakan tidak, media sosial masa kini bagaikan satu ‘kemudahan’ bagi golongan ‘makcik bawang’, ‘pakcik makcik polis’, ‘ustaz dan ustazah segera’ yang sesuka hati mahu mengkritik perbuatan seseorang tanpa memahami tujuan utama mereka berbuat demikian.
“Untuk makluman, semua video saya diambil daripada headline yang ditulis oleh media sendiri. Jadi saya sekadar bagi ulasan sahaja tentang sesuatu isu. Kita tak boleh nak hentikan gejala buli siber ni, tapi kita boleh tukar cara pemikiran mereka untuk menjadi lebih bertanggungjawab.
“Video saya ni pun untuk sedarkan masyarakat dan sampaikan mesej positif kepada mereka. Malah, semua orang boleh bersuara kalau mereka rasa mereka kena buli siber. Jangan hanya diamkan diri,” ujarnya lagi. - Kedahnews.com