ALOR SETAR – Sejumlah 80 buah rumah membabitkan lebih kurang 300 isi rumah, dilaporkan terjejas akibat ribut yang melanda lima sektor di Bandar Baru Beris Jaya dekat Sik, kira-kira 4.30 petang semalam.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid mendedahkan lima sektor yang terlibat ialah Sungai Batang, Kuala Sungai Batang, Batu Seketul, Ternas dan Charuk Tualang.
“Dalam kejadian ribut berserta hujan lebat itu, dianggarkan terdapat 80 buah rumah yang terjejas namun saya bersyukur kerana tiada penghuni rumah yang dilaporkan mengalami kecederaan.
“Pagi ini saya turun sendiri meninjau rumah yang terlibat, ada yang mengalami kerosakan teruk dan ada yang terjejas sedikit sahaja, namun maklumat terperinci sedang dikumpul sebelum bantuan sewajarnya dapat disalurkan bagi membantu mereka yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Zakat daerah Sik di sini, hari ini.
Mahadzir yang juga Pengarah Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) berkata terdapat sebuah rumah di sektor Batu Seketul yang tidak dapat didiami oleh penghuninya akibat kerosakan teruk pada bumbung.
“Rumah terbabit dihuni enam sekeluarga dan demi keselamatan mereka, malam tadi sukarelawan kami telah membantu mendirikan khemah bersebelahan rumah terbabit, untuk didiami mereka buat sementara waktu,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa Mohd Husnizar Husain, 39, berkata dia menyewa rumah terbabit sejak dua tahun lepas dan sewaktu kejadian, dia berada di rumah bersama isteri, Zainab Hassan, 40, dan lima anak berusia lingkungan 19 hingga tiga tahun.
“Saya bekerja di kilang kuari batu manakala isteri suri rumah, sudah lebih dua tahun menyewa di sini, tapi tahun ini sudah dua kali dilanda ribut, kali pertama dulu bumbung juga rosak namun sudah dibaiki.
“Petang semalam paling teruk, lagi banyak bumbung yang rosak, air hujan bertakung di dalam rumah, malam tadi kami semua tidur di dalam khemah yang mereka dirikan di luar rumah…elektrik memang kami tak berani gunakan sebab bimbang berlaku litar pintas,” katanya.
Sementara itu, warga emas, Abu Hassan Wateh, 71, berkata dia sekeluarga berdepan detik cemas apabila terpaksa memindahkan isterinya yang sakit akibat kemalangan, ke tempat selamat selepas bumbung rumah mereka rosak diterbangkan ribut.
“Isteri saya, Jariah Ishak, 68, mengalami patah tulang rusuk akibat kemalangan jalan raya minggu lepas, dalam keadaan hujan lebat, basah kuyup, saya bersama anak lelaki berusia 25 tahun, terpaksa mengangkat dia dari ruang tamu ke dapur kerana di situ sahaja kawasan yang tidak dimasuki air hujan.
“Sejak kami tinggal di sini pada 2003, ini kali pertama rumah ini terjejas teruk akibat ribut,” katanya. - Kedahnews.com