‘Abang Ranum’ Mahu Tanding PRU?


PETALING JAYA - Kehangatan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semakin terasa apabila parti-parti politik mula memperkenalkan calon-calon mereka.

Malah, netizen turut digemparkan dengan kemunculan dua individu yang sebelum ini tular dengan aksi taranum dalam video terbaharu mengenai pilihan raya.

Video taranum berdurasi kira-kira dua minit yang dimuat naik di akaun Facebook ‘Abang Ranum’ pada Jumaat malam itu, menyeru rakyat Malaysia untuk mengundi dengan bijak pada pilihan raya umum yang akan diadakan pada 9 Mei ini.

“Dengar sini semua rakyat Malaysia, sudah tiba musim pilihan raya. Hendaklah kita pangkah dengan bijaksana. 

“Bikin undi rosak tiada guna. Kerana kita penentu masa depan negara,” katanya sambil bertaranum yang mana di akhir video muncul seorang lagi lelaki yang berperwatakan seperti wakil rakyat bersama beberapa poster ‘undilah calon’ ditampal di dinding.

Pemilik sebenar suara taranum itu, Alfian M Nor, 38, berkata, video tersebut dibuat bagi menyeru rakyat Malaysia menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Sempena musim pilihan raya ini, diharapkan ia diadakan secara aman dan harmoni. Jangan amalkan budaya kecam-mengecam dan seharusnya menghormati antara satu sama lain meskipun perbezaan fahaman politik,” katanya kepada mStar Online, Jumaat malam.

Sementara itu, rakan duetnya, Irwan Effendy Bahtiar, 36, berkata, kemunculannya sebagai ‘YB’ adalah sekadar guruan bagi menyuntik elemen humor dalam video taranum mengajak rakyat untuk mengundi.

“Itu sekadar suka-suka, tidak terlintas untuk saya bertanding menjadi wakil rakyat, sebagai calon pilihan raya. Ada lagi yang lebih layak dengan aura mereka tersendiri.

“Tapi watak ‘YB’ yang dipaparkan di dalam video adalah secara sinikal, dan antara lain mahu menunjukkan calon-calon yang dipilih untuk bertanding itu diharapkan berkualiti dan dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik kepada rakyat,” kata Irwan yang lebih dikenali sebagai Rocco.

Duo ‘individu taranum’ ini mula dikenali dengan video tular mereka termasuklah mengenai masuk gaji dan sempena pasukan Selangor menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan Liga Super, kedua-duanya tahun lalu.

Kali terakhir adalah video taranum mereka mengenai tanda kesyukuran selepas Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mula diagihkan kepada kira-kira 7.2 juta isi rumah dan individu bujang berkelayakan pada Februari lalu.

Sumber: Mstar Online