STATUS kerakyatannya sering menjadi buah mulut orang ramai. Malah, pelakon, Datuk Adi Putra masih dianggap sebagai pelakon Singapura biarpun sudah lama bertapak dalam industri seni di Malaysia.
Bagi menjawab pertikaian dari beberapa pihak yang masih menganggap dia merupakan warganegara Singapura, Adi mengambil pendekatan untuk berkongsi status kerakyatannya di negara ini kepada umum.
Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim berkata, dia sedar bahawa ramai pihak sering membangkitkan perkara itu, ini kerana dia sememangnya merupakan warga Singapura sebelum ini.
Menerusi perkongsiannya di laman Instagram itu, Adi memuat naik gambar kad pengenalan Malaysia yang tertera muka dan namanya kepada netizen dengan harapan sebarang pertikaian mengenai perkara tersebut dihentikan.
Jelas Adi, dia sudah lama menetap dan berkecimpung dalam industri hiburan negara ini, malah isteri serta anak-anaknya juga merupakan warganegara Malaysia. Kini, dia pula mahu mengumumkan bahawa dia merupakan warganegara Malaysia yang sah.
“Ramai menjadi persoalan tentang kerakyatan saya. Memang benar dilahirkan di Singapura, berkecimpung dunia perfileman di Malaysia.
“Berniaga syarikat pengurusan umrah dan haji di Malaysia, isteri Datin Hajah Aida Yusof (@adyaidayusof) kelahiran Malaysia, anak-anak warga Malaysia.
“Saya menjadi warga Malaysia dah lama tapi dah tiba masa saya umumkan status warga saya ialah Malaysia,” tulis Adi di laman Instagramnya.
Sebelum ini juga, Adi pernah menededahkan kepada pihak media bahawa dia kini mempunyai kad pengenalan dan layak mengundi pada PRU14.
Bagaimanapun, Adi mengambil langkah yang lebih drastik kali ini dengan mempamerkan kad pengenalan MyKadnya itu kepada umum.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang telah ditetapkan pada 9 Mei ini, kebanyakan netizen juga meluahkan pendapat mereka berkenaan isu politik di ruangan komen Instagram Adi.
Ini disebabkan Adi dilihat turut aktif mengikuti kempen sempena PRU14 seperti yang boleh dilihat melalui beberapa perkongsian di media sosialnya itu.
Tambahnya melalui entri berkenaan, perkara yang mustahak kini adalah tanggungjawab setiap rakyat Malaysia yang boleh mengundi untuk turun padang menunaikan tanggungjawab pada PRU14 nanti.
Adi juga tanpa berselindung, mendedahkan bahawa dia memilih warna biru yakni parti Barisan Nasional dan menggambarkan parti tersebut seperti air dan ombak.
Malah, kata Adi, dia sama sekali tidak kisah sekiranya ada pihak yang tidak menyukainya dan hanya tidak mahu dibenci oleh Allah.
“Yang penting sekarang tinggal 10 hari untuk mengundi, tak kira parti mana, warna apa, sokong ataupun tidak, suka atau tak suka, itu hak masing-masing.
“Mahupun saya dibenci, saya terima, asal Allah tak membenci saya. Sekurang-kurangnya semua Petronas di Malaysia menyediakan surau untuk solat sekira terlambat ke masjid, surau dan rumah.
“Akhir kata, saya pilih biru, seumpama ombak dan dunia diselubungi air. Pemimpin yang cekap membawa kapal layar, kapal tak akan karam,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon yang bakal membawakan watak Mat Kilau dalam filem arahan Shamsul Yusof itu membenarkan pengikut di laman sosialnya itu untuk meninggalkan komen tidak kira sama ada positif atau negatif.
“Mana nak komen silakan mahu yang baik atau buruk. Allah ku satu, jadi aku taat pada yang satu. Pilihlah mana terbaik mengikut akal tapi bukan nafsu,” tulisnya lagi. - Kedahnews.com