PETALING JAYA - Pengalaman diperlakukan seperti seorang hamba ketika bekerja di sebuah kilang di Korea Selatan benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat seorang lelaki yang berasal dari Ipoh, Perak.
Pengalaman pahit itu disimpan kemas oleh Haziq (bukan nama sebenar) dan hanya diceritakan kepada abangnya yang dikenali sebagai Hafiz Netero.
Selepas laporan khas berkaitan isu buruh haram melibatkan rakyat Malaysia bekerja di Korea Selatan didedahkan mStar Online pada awal bulan lalu, Hafiz Netero tampil 'bersuara' bagi pihak adiknya.
"Bayangkan adik saya perlu bekerja selama 17 jam, bermula pukul 8 malam hingga 8 pagi dan wajib buat kerja lebih masa sehingga pukul 1 tengah hari pada setiap hari.
"Dia perlu susun barang dalam sebuah kontena seorang diri, sehingga ia siap. Tapi malangnya, tidak dibayar gaji!," luah Hafiz Netero kepada mStar Online.
Tambahnya, sebagai abang, dia berasa amat simpati dengan nasib yang menimpa adiknya dan pernah menawarkan untuk membelikan tiket pulang ke tanah air, namun ditolak atas alasan ingin berdikari.
Menurut perunding unit amanah itu, majikan Haziq menjanjikan bahawa gaji akan dibayar secara mingguan tetapi memperdaya dirinya sekali lagi dengan mendakwa akan membayar gaji secara bulanan pula.
Selepas dua minggu membanting tulang, adiknya menerima bayaran daripada majikan berkenaan biarpun tidak seperti jumlah yang dijanjikan.
Akibat tidak tahan dengan beban kerja yang terpaksa ditanggung, Haziq memilih untuk berhenti selepas dua minggu dan mencari pekerjaan lain.
Tetapi, ibarat 'keluar mulut harimau, masuk mulut buaya', Haziq yang bekerja di kilang penyusunan barang lain sekali lagi menjadi hamba dan tidak dibayar gaji selepas sebulan bekerja.
Hafiz Netero berkata, selama lebih sebulan adiknya berada di negara itu, Haziq menyara diri dengan menjadi pembeli peribadi atau 'personal shopper' bagi meneruskan hidup dan mengumpul wang untuk membeli tiket penerbangan ke Malaysia.
Bagaimanapun, lelaki itu bersyukur kerana nasib adiknya tidak seburuk mangsa-mangsa lain yang dipaparkan dalam laporan sebelum ini.
"Kita dimomokkan dengan perkara yang indah-indah sahaja di sana, tapi hakikatnya jauh daripada itu.
"Bagi saya, lagi baik cari rezeki di negara sendiri biarpun gaji yang ditawarkan sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sebulan, asalkan tidak dilayan seperti hamba," ujarnya.
Hafiz Netero berharap agar rakyat Malaysia lebih bijak menilai risiko yang bakal dihadapi mereka sekiranya berkeras ingin bekerja tanpa permit yang sah di negara tersebut.
Sumber: Mstar Online