Anak Bekas Pengarah Urusan Didakwa Buat Laporan Palsu


SHAH ALAM - Anak bekas seorang pengarah urusan sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membuat laporan palsu terhadap pemandu bekas bapa mertuanya, Jun tahun lalu.

Tertuduh, Maya Ahmad Fuaad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret P. Sarulatha.

Mengikut pertuduhan, Maya didakwa membuat laporan palsu kepada Koperal Hazrul Shahkifly Setia dengan niat untuk menyebabkan anggota polis itu menggunakan kuasa mencederakan atau menimbulkan kemarahan pemandu itu, K. Mathurai Veeran atau melakukan sebarang perkara yang tidak sepatutnya dilakukan jika fakta sebenar berkenaan maklumat dalam laporan itu diketahui oleh anggota polis.

Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Kota Damansara pada 30 Jun tahun lalu.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan yang dilakukan Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Asisten Superitendan D.R. Ghanthi Nathan @ Ben G memohon wang ikat jamin sebanyak RM2,000, penyerahan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan kediamannya sebulan sekali.

Bagaimanapun, Peguam Eliena Rashid memohon wang ikat jamin dikurangkan kepada RM500.

"Anak guam saya merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak yang masing-masing berusia dua dan lima tahun," jelasnya.

Turut hadir dalam prosiding tersebut adalah Peguam Pemerhati, K. Thiru bagi mewakili Mathurai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Mei depan. 

Sumber - Kosmo