Anak Jati Sedia Pertahan Pulau Langkawi Daripada 'Dirampas' Mahathir


Walaupun mendapat kecaman keras daripada penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin tidak akan berundur.

Beliau akan bangkit untuk menyedarkan anak jati Pulau Langakwi supaya mempertahankan pulau pelancongan itu  daripada 'dikuasai' oleh bekas Perdana Menteri  Tun Dr. Mahahir Mohamad.

Anina, bekas Ketua Srikandi PPBM dan pengasas parti itu mendedahkan beliau lebih mengetahui sengsara anak jati Langkawi akibat tindak-tanduk Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri dan  ketika memajukan pulau bebas cukai itu.

"Anak Langkawi tidak akan membenarkan pembangkang bertapak di Langkawi, " kata Anina dalam satu kenyataan berani yang dimuatkan dalam Facebook beliau semalam.

Beliau mendakwa Dr. Mahathir telah menafikan hak penduduk asal Langkawi dengan 'mengambil' tanah mereka di kawasan pantai melalui Lembaga Pembangunan Langkwai (LADA) ketika beliau berkuasa dahulu untuk dibina hotel-hotel.

Anina juga mencabar pihak pembangkang membuktikan jika dakwaannya itu tidak benar.

" Tunjukkan kepada saya satu tabung amanah untuk anak Langkawi yang berjaya membantu mereka. Buktikan satu sahaja..bukan dua," tegasnya.

"Cukuplah Dr. Mahathir 'merampas' hak orang kampung sebelum ini, jangan rampas apa-apa lagi hak anak Langkawi, " kata Anina.

Beliau juga sedia berdebat dengan pihak pembangkang bagi membuktikan dakwaannya itu benar.

Sementara itu Anina menegaskan beliau akan memberikan sokongan padu kepada siapa juga calon Barisan Nasional (BN) yang akan dipilih bertanding bagi Parlimen Langkawi dan dua Dewan Undangan Negeri di pulau berkenaan.

Dr. Mahathir diisytihar oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi pada PRU14 yang ditetapkan pada 9 Mei ini. 

PPBM juga meletakkan calonnya untuk bertanding di DUN Ayer Hangat dan DUN Kuah.

Pada PRU13 kerusi Parlimen Langkawi dimenangi BN melalui Datuk Ir Nawawi Ahmad, bekas jurutera TNB dan bekas Exco kerajaan negeri kerajaan negeri.

Beliau menangi kerusi itu dengan majoriti 11,861 undi atau 67 peratus undi

.Sementara itu Nawawi yang dipetik daripada Malaysiakini berkata UMNO tetap kukuh di Langkawi namun enggan memberi komen selanjutnya sama beliau akan bertanding mempertahankan kerusi itu atau tidak. - Kedahnews.com