KUALA LUMPUR - Pemain berdarah Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal sekali lagi mencipta sejarah baharu apabila bakal menjadi anak Malaysia pertama beraksi dalam saingan Liga Bolasepak Major (MLS).
Pemain yang terkenal dengan jolokan 'Messi Amerika' itu sah menyertai pasukan yang beraksi dalam saingan Western Conference MLS, Sporting Kansas City (Sporting KC) dengan perkembangan itu diumumkan menerusi laman rasmi pasukan terbabit, malam tadi.
Menerusi kenyataan itu, Sporting KC menandatangani Wan Kuzain yang juga adalah bekas pemain akademi pasukan berkenaan dengan kontrak selaku pemain tempatan sehingga 2020 dengan pilihan untuk melanjutkan kontraknya pada 2021 dan 2022.
Dengan penyertaan pemain berusia 19 tahun itu, dia turut muncul selaku pemain tempatan yang kesembilan dalam sejarah kelab Sporting KC.
Pengurus Sporting KC, Peter Vermes mengakui pemain tengah bertahan itu memiliki segala kualiti, sikap dan mentaliti yang diperlukan untuk menjadi tonggak pasukan itu pada masa akan datang.
"Kuzain adalah pemain daripada akademi kami dan berkembang dengan begitu pesat.
"Dia memiliki pemahaman yang mengagumkan terhadap peranannya mengenai model permainan kami dan kami yakin dia sememangnya layak untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi," katanya menerusi laman rasmi pasukan itu.
Sementara itu, Kuzain nyata gembira selepas berjaya menyertai pasukan terbabit sambil menyifatkan ia bagai mimpi menjadi kenyataan.
"Saya begitu teruja dan berterima kasih atas peluang yang diberikan oleh Sporting Kansas City. Ini adalah sesuatu yang sememangnya diimpikan oleh semua pemain muda.
"Sangat hebat apabila menjadi sebahagian daripada pasukan ini terutamanya selepas saya sendiri datang daripada akademi dan akhirnya menyertai pasukan utama," katanya.
Selepas menyertai akademi Sporting Kansas City pada 2016, dia menandatangani kontrak akademi Swope Park Rangers pada tahun sama sebelum memperoleh kontrak profesional bersama pasukan sama tahun berikutnya.
Selain itu, Kuzain pernah menjalani latihan bersama skuad Bawah 17 (B-17) Amerika Syarikat dan juga kelab daripada Belanda, Feyenoord tiga tahun lalu.
Sumber: BH Online