Aneh! Lepas Dapat Rumah Cantik, Asnaf Mengadu Sempit, Minta Jubin Penuh Rumah


PETALING JAYA - Keringat yang dicurahkan pasukannya buat golongan asnaf bukanlah minta disanjung, namun cukuplah ia tidak dipertikaikan sehingga menimbulkan rasa terkilan para sukarelawan yang terlibat secara aktif membantu mereka yang memerlukan.

Kekesalan itu diluahkan oleh pengasas pertubuhan sukarelawan kebajikan, The 3rd Force (Thirdforce), Dr Raja Shamri Raja Husin melalui posting yang dimuat naik di Facebooknya pada Ahad malam.

Dalam posting tersebut, Raja Shamri mendakwa terdapat seorang asnaf yang merupakan seorang ibu tunggal yang memelihara anak kelainan upaya, mengadu bahawa rumah seluas 800 kaki persegi yang dibina di Pasir Putih, Kelantan untuk dua beranak itu sempit.

"Beberapa hari lepas ada asnaf yang kita pernah bantu untuk bina sebuah rumah yang sangat cantik dengan rekaan moden kontemporari datang mengadu, katanya rumahnya sempit dan mintak kita pasang 'tile' (jubin lantai) penuh rumah.

"Katanya juga sistem pendawaian kita tak sempurna, wayar kena makan tikus dan kena tambah satu lagi tiang elektrik, kena buat telaga tiub dan macam-macam lagilah... semuanya selepas lebih satu tahun," luahnya melalui posting berkenaan.


Permintaan 'luar biasa' itu membuatkan Raja Shamri mengesyaki bahawa terdapat pihak yang cuba menghasut wanita berusia 50 tahun tersebut, berdasarkan latar belakang pendidikan asnaf itu, hanya bekerja kampung serta menyara seorang anak sahaja.

Telahannya itu mungkin ada benarnya apabila beliau mendakwa mendapat maklumat bahawa ada pihak yang datang berkempen dari rumah ke rumah sempena musim pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Mulalah nak tunjuk ambik berat. Kritik rumah yang kita sama-sama bina, tak kena kat situlah kat sinilah. Awak tu dulu si asnaf berpuluh tahun hidup daif, tak ada pula datang bantu.

"Bila kita dah siap bina rumah bagai, dah setahun dah baru awak datang hasut tak ada 'tile' lah dan rumah kecil. Nak berkempen silakanlah, tapi jangan hasut asnaf jadi kufur (nikmat)," tegasnya.

Tambah beliau, pengalaman itu bukanlah kali pertama berlaku dan tidak dinafikan ia telah menjejaskan emosi para sukarelawan yang pernah terlibat membina rumah yang bernilai RM30,000 itu.

"Memang biasa berlaku asnaf mengadu begini, tapi biasanya ia melibatkan pihak ketiga dan kita kena faham bahawa asnaf ini bukan sahaja kekurangan dari segi wang, tetapi mereka juga kurang ilmu, akhlak dan iman. 

"Maka, kami kena berlapang dada. Tapi, diharapkan janganlah kufur dan tidak bersyukur kerana ia boleh membuatkan pemberi sumbangan 'lari', katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Jelas Raja Shamri, posting tersebut juga tidak ditujukan kepada parti politik tertentu dan ditulis secara umum. 

                  

Sumber: Mstar Online