Anwar, Wan Azizah Jangan Pinda Senarai Calon PKR – Tian Chua


SHAH ALAM – Naib Presidan PKR, Tian Chua hari ini memberi amaran kepada pucuk pimpinan parti itu supaya berwaspada dalam soal pemilihan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun Ahli Parlimen Batu itu menolak spekulasi beliau akan keluar daripada PKR, sebaliknya terus komited pada perjuangan Pakatan Harapan (PH).

Tian mendakwa beberapa pihak sedang mengenakan tekanan luar biasa ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selaku ketua umum dan presiden PKR dalam soal pemilihan calon.

“Saya menggesa pemimpin kita supaya berhati-hati dalam meminda senarai nama calon pada saat terakhir, hanya untuk melayan kehendak puak-puak tertentu,” kata Tian.

“Rakyat tidak mahu melihat PKR sebagai parti yang hanya akur kepada kepentingan kabilah tertentu,” tambah beliau.

“Saya masih menaruh harapan bahawa pemimpin kami, Anwar dan Wan Azizah mempunyai kekuatan untuk menolak tekanan sebegini supaya parti kita terus bersatu pada untuk menghadapi pilihan raya,” tegas Tian.

Tian berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan nasib politiknya namun tidak bersetuju dengan cadangan untuk menghantarnya bertanding di Johor.

“Saya tak ada masalah jika tidak dipilih bertanding sama sekali pada pilihan raya kali ini,” kata Ahli Parlimen yang memenangi kerusi Batu dua penggal berturut-turut.

Tian di sebut-sebut sebagai antara pemimpin yang diarah untuk bertanding di Johor oleh pimpinan tertinggi PKR namun menolak arahan itu.

Keadaan bertambah kusut apabila beberapa lagi calon PKR yang dicadangkan oleh menteri besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut ditolak oleh presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Keadaan itu mencetuskan spekulasi bahawa Tian dan beberapa pemimpin parti itu, khususnya dari Selangor mungkin keluar daripada PKR.

Pada sidang media petang tadi, Tian berkata tidak ada keperluan untuk beliau bertandang ke Johor dan menolak persepsi bahawa Batu adalah kerusi selamat untuk PKR yang boleh diserahkan kepada mana-mana calon lain.

“Saya diberitahu bahawa sebagai pemimpin peringkat kebangsaan, saya patut dijemput untuk bertanding di tempat lain, seperti Johor.

“Saya juga diberitahu ada pemimpin lain yang berminat bertanding di sini (Batu), kerana ia dianggap kerusi selamat.

“Ia bukan kerusi selamat 10 tahun lalu, ia kubu kuat BN. PKR Bahagian Batu bekerja keras untuk menangi hati pengundi Batu. Saya yakin kita boleh pertahan kerusi Batu,” katanya.

Tian menyifatkan cadangan untuk beliau berpindah ke Johor sebagai tidak masuk akal.

“Saya lihat dua kerusi utama yang kita ada (di Johor), Tebrau dan Ledang. Kedua-dua calon cadangan yang sedia ada buat kerja yang baik di akar umbi. Tiada keperluan untuk pemimpin utama ke sana untuk menang kerusi. Saya rasa dengan kerja baik mereka ketika ini, kita boleh menang kerusi itu.

“Tidak perlu tukar-tukar kerusi hanya nak senangkan Tian Chua. Saya serahkan kepada pimpinan untuk buat keputusan akhir. Jika saya tidak bertanding di Batu, saya tidak kisah jika tidak bertanding dalam PRU ini,” katanya. 

Sumber – AntaraPos