Apa Dah Jadi?! Amnesty International Mahu Hak LBGT Ditegakkan!


KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO) Amnesty International Malaysia yang sering mengkritik dasar hak asasi di Malaysia semalam mengeluarkan satu kenyataan berdokumen ditujukan kepada calon-calon kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)

NGO antarabangsa yang pernah menyebelahi ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat itu antara lain menyeru calon Parlimen PRU14 menegakkan dan melindungi hak Lesbian, gay, bisexual, transgender dan intersex (LGBTI) dalam kempen mereka.

“Calon PRU14 mesti meletakkan hak asasi manusia sebagai keutamaan dalam kempen mereka. Undang-undang yang digunakan untuk tindakan keras terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun mesti dimansuhkan atau dipinda.

“Malaysia mesti komited untuk menghapuskan hukuman mati dan kematian dalam tahanan. Hak pelarian dan pencari suaka, orang asli serta LGBTI mesti ditegakkan dan dilindungi di Malaysia,” kata kenyataan itu semalam.

Bekas Pengerusi BERSIH, Maria Chin yang juga calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Parlimen Petaling Jaya, Selangor dalam PRU14 antara yang pernah menerima pengiktirafan oleh Amnesty International.

Pengarah Eksekutif Interim, Amnesti Antarabangsa Malaysia, Gwen Lee dalam kenyataan itu turut menuntut Akta Perhimpunan Aman, Akta Anti Berita Palsu, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Akta Pencetakan dan Penerbitan Percetakan dimansuhkan.

Beliau mendakwa kononnya akta terbabit menyekat hak asasi dan kebebasan bersuara di negara ini malah tidak selaras dengan undang-undang, piawaian dan konvensyen hak asasi manusia antarabangsa

Tuntutan beliau itu sejajar dengan pengumuman Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini iaitu Pakatan Harapan akan membatalkan semua akta terbabit jika menang PRU14.

Mahathir dalam sidang media bersama barisan pimpinan Pakatan Harapan termasuk pemimpin DAP, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamad Sabu menyifatkan undang-undang tersebut menekan rakyat. - Kedahnews.com